Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif

ceo 2019 my

Salam sejahtera,

Pada tahun 2021, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah menetapkan sasaran baharu sejajar dengan okjektif dan matlamat utama institut mengikut situasi semasa. Walaupun kita masih berhadapan dengan situasi Pandemik Covid-19, IYRES sentiasa meneruskan peranannya sebagai institusi penyelidikan pembangunan belia yang bereputasi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun merupakan tonggak masa depan negara dengan jumlah populasi sebanyak 10.02 juta iaitu satu pertiga daripada jumlah penduduk Malaysia. Belia Malaysia kini berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran sama ada daripada aspek pembangunan kendiri mahupun persekitaran. Cabaran-cabaran yang ada telah mula dilihat berganda terutamanya selepas pasca COVID-19. Dasar Belia Malaysia (DBM) telah menggariskan bahawa terdapat empat cabaran belia masa kini yang merangkumi bidang politik, ekonomi, sosial dan teknologi.

Sehubungan itu, IYRES tekad untuk sentiasa menjalankan kajian yang berkaitan dengan empat cabaran belia tersebut. Selain kajian utama IYRES seperti Indeks Belia Malaysia (IBM) dan Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM), IYRES juga menjalankan kajian Ketidakupayaan Belia Bersaing Dalam Sektor Ekonomi bagi mengenal pasti keperluan dan kehendak golongan belia masa kini. Di samping itu, IYRES telah menjalankan beberapa kajian semasa seperti Kesan Pandemik COVID-19 Kepada Usahawan Belia, Undi18 dan Aspirasi Belia Malaysia atau Care for Your Youth agar proses pelaksanaan dasar dan penggubalan polisi dipandu bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan belia pada masa kini dan masa hadapan.

Kemampuan IYRES untuk kekal sebagai peneraju dalam penyelidikan pembangunan belia di Malaysia kian mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan Kementerian dan Agensi Kerajaan malah hasil kajian IYRES pernah menjadi rujukan badan antarabangsa seperti UNICEF dan World Bank Malaysia, malah yang terkini United Nations Development Programme (UNDP) dan International Council of Malaysian Scholars and Associates (ICMS) juga menggunakan data IYRES sebagai rujukan. Melalui penyebarluasan data yang dijana melalui hasil kajian, IYRES berhasrat agar ianya dapat membantu dalam menjana program pembangunan komuniti belia setempat di semua sektor.

Oleh yang demikian, IYRES amat mengalu-alukan organisasi yang berminat untuk berkolaborasi melalui penglibatan aktif dalam aktiviti penyelidikan dan seumpamanya bagi meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup belia di Malaysia. Akhir kata, saya berharap selepas setahun kita mengharungi cabaran pandemic Covid-19, semua inisiatif yang dirancang pada tahun ini dapat digerakkan secara kolektif dengan 10 kumpulan pelaksana di pelbagai peringkat demi masa depan belia Malaysia.

Sekian, terima kasih.

DR. VELLAPANDIAN PONNUSAMY
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF IYRES