kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Badan Tunggal Penarafan TVET Diwujudkan, Seragamkan Kualiti Program - Ahmad Zahid

 

TPM

 

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) - Kerajaan akan mewujudkan sebuah badan tunggal penarafan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyeragamkan kualiti kursus yang ditawarkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis TVET Negara Bil 1/2024 yang dipengerusikannya di sini hari ini.

Beliau berkata langkah berkenaan juga antara lain untuk mengelakkan ketidaksuaian atau ketidakjajaran kursus yang ditawarkan dengan keperluan industri.

“Penyelarasan dilakukan bagi pengiktirafan dan penarafan kepada kelulusan (lepasan) TVET di mana penyatuan kepada sebuah badan tunggal penarafan ini dilakukan dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Ianya adalah untuk menyesuaikan semua kursus TVET berdasarkan kepada permintaan daripada industri, berbeza dengan dahulu di mana silibus dalam TVET ini dilakukan berdasarkan apa yang boleh ditawarkan oleh institusi TVET,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu.

Ahmad Zahid pada masa sama berharap lepasan TVET dalam negara diiktiraf sebagai ahli teknologi oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang akan memberi nilai tambah kepada mereka bagi meningkatkan tahap gaji selaras dengan tawaran pihak industri dalam bidang teknologi tinggi.

Katanya, MBOT yang berperanan sebagai badan profesional bagi mengiktiraf ahli teknologi dan juruteknik profesional juga diharap akan terus membantu memperkukuhkan ekosistem TVET negara agar ia mengikut standard bertepatan dengan keperluan industri.

Sebagai pendekatan baharu dalam memperkasakan TVET dalam bidang pertanian dan perladangan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Majlis TVET Negara turut memutuskan agar pemetik buah kelapa sawit tidak lagi terdiri daripada pekerja asing, sebaliknya daripada pekerja mahir lulusan institusi TVET yang akan diberikan taraf penuai .

“Pendekatan baharu adalah bagi sediakan kursus penuai untuk pelajar ikuti kursus di institusi TVET tertentu bagi menjadi penuai untuk berikan peluang kepada mereka berada di taraf lebih tinggi dalam perladangan dan juga pertanian. Ini akan berikan gaji tinggi daripada pengutip buah biasa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pengambilan pelajar TVET bagi lepasan Tingkatan Tiga juga akan diperkukuh mulai pengambilan Mac ini dengan Kementerian Pendidikan Malaysia akan melakukan jerayawara untuk menggalakkan pelajar menceburi bidang TVET.

“Perubahan ini dilakukan bagi menggalakkan penyediaan tenaga mahir di peringkat awal usia, sesuai dengan permintaan yang semakin bertambah oleh pihak industri,” katanya.

Program TVET di peringkat sekolah menengah sedang dilaksanakan antaranya melalui Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Teknik dan Program Vokasional Menengah Atas.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Institusi TVET China juga menawarkan lebih 2,000 kuota latihan TVET kepada pelajar Malaysia.

“(Sebelum ini) mereka telah tawarkan setakat ini 2,000 tempat kepada pelajar TVET lanjutkan pelajaran di China, tetapi tawaran terbaharu yang telah sampai kepada MARA (Majlis Amanah Rakyat) melalui UNIKL (Universiti Kuala Lumpur), mereka tawar lebih daripada 2,000 (tempat) atas kepercayaan kualiti lepasan TEVT di negara kita adalah sama taraf dengan kelulusan minimum yang diperlukan oleh institusi TVET di China,” katanya.

Kuota latihan yang diberikan institut TVET China itu dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan Kenderaan Elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), tenaga suria, teknologi maklumat dan pemesinan.

 

Sumber : Bernama
Pautan  :Bernama

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.