kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

HRD Corp, UTS Berkolaborasi Tawar Latihan Kemahiran Kepada Golongan Rentan

 

Steven Sim

 

SIBU, 3 Feb (Bernama) - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Sarawak, membangun serta menawarkan program latihan dalam kemahiran teknikal dan keusahawanan untuk komuniti rentan di Sibu dan kawasan sekitarnya.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata kerjasama baharu itu, merupakan lanjutan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara HRD Corp yang diwakili Ketua Eksekutifnya Datuk Wira Shahul Dawood, dengan UTS yang diwakili Naib Canselor Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, Naib Canselor UTS.

Melalui kerjasama itu, HRD Corp dan UTS akan menawarkan program pembangunan kemahiran bidang penyambungan dan pemasangan elektrik praktikal teknologi rumah pintar yang meliputi bidang-bidang seperti Internet benda (IoT) dan sistem rumah pintar, integrasi peranti rumah pintar; dan kemahiran keusahawanan yang merangkumi perancangan perniagaan serta strategi asas, literasi kewangan termasuk penyusunan bajet, serta asas pemasaran dan penjenamaan.

Sim berkata program latihan tersebut, akan ditawarkan kepada komuniti berpendapatan rendah, individu kurang bernasib baik dari segi pendidikan dan orang kurang upaya di Sibu dan kawasan sekitarnya, untuk memperlengkapkan mereka dengan kemahiran serta pengetahuan elektrik dan elektronik diperlukan dalam industri,sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Selain membekalkan penduduk Sibu dan kawasan sekitarnya dengan kemahiran yang relevan dengan industri, kerjasama ini juga membantu mencipta bekalan tenaga pakar teknikal yang stabil yang boleh bekerja dalam pelbagai subsektor tenaga, terutamanya dalam bidang teknologi kediaman pintar,” katanya pada majlis pertukaran MoU itu di UTS hari ini.

Sim berkata Kementerian Sumber Manusia, menyokong keperluan Sarawak dalam usaha melahirkan pekerja mahir di bidang terbabit dan akan meneliti peluang untuk melibatkan kemahiran kecerdasan buatan (AI), di samping kursus berkaitan dengan penyelesaian inovatif untuk tenaga yang boleh diperbaharui dan efisyen pada masa depan.

Beliau berkata MoU itu tepat pada waktunya, kerana Sarawak dijangka akan menarik pelaburan bernilai RM300 bilion dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, tatkala pada skala kebangsaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dijangka untuk menerima pelaburan bernilai RM2 trilion dalam sektor tersebut menjelang tahun 2050.

Fokus itu juga telah membawa kepada peningkatan permintaan rumah pintar serta bertenaga efisyen di Sarawak, yang mana mencipta permintaan yang tinggi terhadap jurutera serta juruteknik elektrik dan elektronik untuk melaksanakan projek-projek berkenaan.

UTS dan HRD Corp dengan kerjasama pertubuhan komuniti akar umbi, persatuan majikan, serta ketua-ketua komuniti dan industri setempat, telah mengenal pasti individu serta kumpulan yang akan menjadi perintis program tersebut, di mana kelas pengenalan pertama dijadualkan berlangsung antara 17 Feb hingga 2 Mac nanti.

Majlis pertukaran MoU itu turut disaksikan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Naib Pengerusi Dewan Rakyat II Alice Lau Kiong Yieng dan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew.

 

Sumber : Bernama
Pautan  : Bernama

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.