kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Kualiti modal insan jamin kejayaan agenda PENJANA

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat lalu seiring permulaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula dua hari sebelum itu.

Ia usaha kerajaan untuk menangani kegusaran berhubung keadaan ekonomi Malaysia, khususnya berkaitan peluang pekerjaan dalam kalangan belia negara.

Melalui tiga teras utama inisiatif iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi, keadaan ekonomi negara diharap kembali pulih kesan pandemik COVID-19 yang menimpa seluruh dunia.

Kerajaan dilihat berusaha melaksanakan tanggungjawab dengan terbaik melalui penyediaan infrastruktur, akses kepada sumber pengeluaran seperti elaun latihan sehingga RM4,000 yang boleh dituntut daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) oleh mereka yang hilang pekerjaan, walaupun bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan (SIP).

Bukan itu sahaja, bagi menggalakkan peluang pekerjaan dalam kalangan belia dan meningkatkan kebolehpasaran graduan, kerajaan menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan.

Seterusnya kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan golongan belia yang berjumlah lebih 200,000 orang.

Daripada tiga teras utama disenaraikan, ternyata teras pertama iaitu memperkasakan rakyat dikira paling utama dalam menentukan kejayaan atau kegagalan inisiatif ini.

Ini kerana manusia adalah pemain utama dalam menghasilkan perubahan dan pembinaan kemajuan.

Francis Fukuyama ada menjelaskan dalam bukunya bertajuk 'Trust' bahawa pembangunan manusia tidak boleh hanya memfokuskan kepada aspek ekonomi, politik dan sosial semata-mata, namun lebih penting pembentukan sikap dihasilkan melalui nilai yang terdapat sistem kepercayaan atau agama dimiliki.

Stephen Covey juga dalam bukunya bertajuk 'In Search of Quality' memberi pandangan bahawa kualiti bukannya berkait angka atau statistik sahaja, namun meliputi sikap, nilai dan juga gaya hidup.

Manusia pencetus segala pembangunan di dunia ini. Dalam usaha memperkasakan manusia, mengenali hakikat manusia antara perkara sangat penting kerana sebagai pembina pembangunan, manusia terlebih dahulu perlu dibangunkan mengikut perspektifnya yang sebenar.

Manusia adalah makhluk Tuhan yang sangat istimewa kerana potensi dan keupayaannya untuk berfikir, tidak ada pada makhluk lain. Dengan kelebihan akal dianugerahkan ini juga manusia mampu melalui proses kognitif berfikir, menjana idea dan membina kreativiti untuk kegunaan pembangunan.

Untuk memastikan manusia berperanan dengan baik, jati diri sebenar setiap individu itu perlu terlebih dahulu dikekalkan. Bagi mereka yang memiliki agama, kefahaman tentang manusia akan menghubungkannya dengan konsep ketuhanan.

Manusia mengharmonikan diri mereka dengan Tuhan melalui tanggungjawab yang diamanahkan untuk mereka iaitu sebagai hamba dan sebagai pentadbir dan pengurus alam.

Namun persoalan utama, adakah setiap individu juga turut sama bersedia melaksanakan hak dan tanggungjawabnya, khususnya dalam usaha mengubah kehidupan mereka kepada keadaan lebih baik?

Inilah ruang masa untuk setiap individu menggunakan keupayaan dirinya sendiri dalam mengerjakan apa jua yang sepatutnya secara maksimum dan terbaik, serta tidak terus mengharapkan pertolongan dan bantuan orang lain, khususnya kerajaan.

Inilah juga masanya untuk setiap individu meletakkan kepercayaan tinggi terhadap kebolehan diri sendiri dengan berusaha dan berikhtiar setakat mampu dan akhirnya disempurnakan dengan berserah diri kepada Allah untuk menentukan hasilnya.

Dalam hal ini, komponen spiritual, selaku pelengkap kepada komponen intelektual dan fizikal, perlu diperkasakan kerana di sinilah letaknya keupayaan untuk mengadakan hubungan dengan dirinya sendiri, selain dengan Tuhan, sesama makhluk manusia dan alam yang didiaminya ini.

Hubungannya dengan diri sendiri inilah yang membabitkan organ spiritual seperti jiwa yang terkandung padanya akal, hati dan roh.

Perkara ini membawa kita kepada firman Allah dalam Surah al-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah apa-apa keadaan yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka".

Ayat ini jelas menuntut setiap individu yang ingin bangkit mengubah keadaan agar kembali melihat ke dalam diri dan melakukan proses penyucian diri. Ini penting untuk mengembalikan kesedaran tentang peri pentingnya kuat berusaha, bekerja dan berbuat sendiri sesuatu kewajipan dengan kuat kemahuan dan penuh kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri.

Proses penyucian jiwa inilah yang mampu mengembalikan manusia untuk berfungsi dengan baik, dan mengembalikan manusia kepada nilai dan harga diri yang tinggi, rasa keyakinan tinggi yang akhirnya mampu untuk merealisasikan agenda kerajaan ke arah memulihkan ekonomi negara melalui penghasilan modal insan berkualiti tinggi. Sumber : Berita Harian
Pautan : https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/06/700563/kualiti-modal-insan-jamin-kejayaan-agenda-penjana

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.