kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Remajakan gerakan pembangunan ummah, beri kepercayaan belia berada di barisan hadapan

20221009 remajaummah

 

IPOH: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu golongan belia diberi kepercayaan berada di barisan hadapan, menyuntik dinamisme baharu dan berperanan secara ketara sebagai pemangkin pembaharuan atau 'game changer'.

Sultan Perak menegaskan semua perlu berani mewasiatkan tanggungjawab lebih besar kepada tenaga muda agar mereka berpeluang berperanan lebih aktif dan efektif, menterjemahkan idealisme kepada realiti dan berkompas minda yang dahagakan pembaharuan.

Titah baginda, ia juga akan membuka peluang mereka menyuburkan pemikiran intelek dengan daya analitis, daya kritis, daya kreatif dan daya inovatif serta mengetengahkan perspektif berbeza dalam menyelesaikan masalah melalui perekayasaan dan pemikiran semula kaedah lama yang semakin usang.

"Golongan remaja wajib didampingi, suara mereka wajib didengari, pandangan mereka wajib difahami, kehadiran mereka wajib diiktiraf agar program pembangunan ummah yang lebih kontemporari dan relevan dengan keperluan dan cabaran semasa dapat dilaksanakan.

"Perkembangan ledakan teknologi semakin berkembang yang sedang berlaku seharusnya membawa kita ke arah pemikiran yang lebih terbuka memandang ke hadapan. Sudah menjadi sunnah, yang lama perlu diperbaharui agar kehendak dan keperluan semasa dapat dipenuhi," titah baginda.

Sultan Perak bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Baginda bertitah, gerakan pembangunan ummah perlu dihembus nafas baharu dengan nilai kontemporari melalui usaha lebih segar, berstrategi dan penuh berwawasan seiring arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat.

Menurut Sultan Nazrin, legasi yang diwarisi daripada Rasullullah SAW wajib disegarkan melalui pendekatan meremajakan gerakan pembangunan ummah dengan penyertaan aktif lebih ramai belia.

Sultan Perak bertitah, keadaan dan zaman yang terus berubah sudah pasti menuntut cara dan pendekatan baharu yang bersesuaian dengan maslahat semasa, sekali gus memerlukan tenaga baharu lebih segar, dinamik, menguasai daya kekuatan berfikir dan memiliki zahir yang cerdas

Titah baginda lagi, usaha meremajakan gerakan pembangunan ummah yang menjadi wacana pada hari ini adalah kesinambungan usaha pernah dilaksanakan rasul (utusan) tuhan berpandukan kisah mengenai peranan angkatan muda seperti terkandung dalam beberapa surah al-Quran.

Menurut Sultan Nazrin, menyedari potensi dan karisma dimiliki golongan remaja (belia) dengan semangat mempercayaii mereka sebagai tenaga penggerak yang wajib dihargai, baginda sendiri berkenan melantik dua individu dalam usia belia untuk menganggotai institusi keagamaan.

"Pada 19 Mac 2021, beta memperkenankan buat pertama kalinya melantik dua orang dalam usia belia sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

"Disusuli melantik wakil belia dalam Jawatankuasa Baitulmal peringkat negeri dan daerah, selain dalam jawatankuasa masjid dan surau seluruh negeri. Alhamdulillah, pelaburan yang dilakukan mula menunjukkan dividen (pulangan).

"Belia menjunjung amanah yang diberikan dengan menyuntik idea dan pembaharuan dalam pelbagai program yang berupaya menarik minat dan menjinakkan golongan remaja dengan masjid, surau dan aktiviti keagamaan," titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada belia negeri ini, selain berterima kasih kepada Menteri Besar Perak atas pembangunan program Briged Muda Petani Moden (BMPM) sebagai langkah menangani isu keselamatan jaminan makanan yang disifatkan pertama seumpamanya di Malaysia.

"Beta sukacita mengikuti berita pada 25 September, bahawa Menteri Besar melancarkan BMPM yang mana belia di Perak merupakan organisasi belia pertama di negara ini yang merintis usaha menubuhkan briged itu.

"Ia adalah usaha dan langkah terpuji lagi membanggakan. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah meluluskan peruntukan kewangan untuk membantu usaha para belia," titah Sultan Nazrin.

 

Sumber : Berita Harian. Pautan - Berita Harian

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.