- Home
- Berita Terkini
- Lee Seru Usaha Bersepadu Untuk Rangsang Belia Mencari Kerjaya Dalam STEM
Lee Seru Usaha Bersepadu Untuk Rangsang Belia Mencari Kerjaya Dalam STEM
GEORGE TOWN, 19 Okt (Bernama) -- Usaha bersepadu daripada ekosistem yang menyeluruh adalah penting untuk menggalakkan generasi muda mencari kerjaya dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon berkata ramai yang masih belum menyedari potensi dalam bidang STEM untuk generasi muda meneroka dan cemerlang.
"Sains dan teknologi akan membuka peluang besar kepada individu terutamanya ketika kita sedang berada di ambang transformasi teknologi yang disokong oleh revolusi perindustrian keempat.
"Keseluruhan ekosistem perlu memainkan peranan mereka dalam mengatur masa depan yang cerah kepada generasi akan datang, khususnya penggubal dasar, agensi kerajaan, pendidik dan ibu bapa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peningkatan ekonomi gig, yang dipacu akibat pandemik, menerima respons positif daripada tenaga kerja golongan belia.
Bagaimanapun, beliau berkata ganjaran segera dan fleksibiliti gaya hidup yang ditawarkan telah menyebabkan ramai orang beralih meninggalkan pekerjaan tradisional, yang secara tidak langsung menjejaskan pengambilan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar.
Sehubungan itu, Lee berkata ekonomi gig hanya bersifat sementara sebagai pekerjaan biasa yang akhirnya akan digantikan dengan automasi, ini merupakan isu yang agak membimbangkan dalam membuka laluan kerjaya yang mampan bagi generasi akan datang.
Sumber : BERNAMA. Pautan - BERNAMA