kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Belia 'Dahaga' Pekerjaan Harungi Pasca Pandemik

 

belia dahaga pekerjaan 2023

 

Malaysia ketika ini masih berada pada fasa peralihan ke endemik, namun impak penularan COVID-19 dan peraturan ketat kerajaan bagi membendung pandemik ini sejak 2020, terutama dalam aspek ekonomi masih dirasai sebilangan besar rakyat, termasuk belia.

Oleh itu, pembangunan belia seimbang terutama pada waktu ini dan masa depan perlu dirancang semula secara menyeluruh bagi memastikan golongan terbabit kekal berdaya saing dan kalis cabaran, sekali gus membantu dalam aspek kestabilan negara dan pembangunan negara bangsa.

Ini selaras dengan hasrat kerajaan menerusi prinsip Malaysia MADANI yang mana kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan adalah kata kunci kepada satu agenda rakyat untuk membina masa hadapan madani kepada Malaysia.

Pembangunan Masyarakat MADANI memberi tumpuan kepada lapan komponen utama dan kesemuanya sangat berkait rapat dengan pembangunan belia secara optimum dan komprehensif.

Pada Disember 2019, sebelum COVID-19 melanda dunia, kadar pengangguran belia mencatatkan 6.5 peratus, manakala pada Mac 2020 iaitu ketika pandemik mengganas, kadar pengangguran belia meningkat kepada 7.8 peratus dan naik kepada 10 peratus pada Mei 2020.

Kadar pengangguran ini meningkat kerana penciptaan pekerjaan baharu semakin berkurangan dan bilangan belia diberhentikan kerja meningkat akibat majikan tidak mampu membayar gaji pekerja, selain banyak syarikat atau perniagaan tidak dapat beroperasi secara penuh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, pada Disember 2022 kadar pengangguran belia mulai berkurang kepada 6.9 peratus, menunjukkan semakin ramai mendapat peluang pekerjaan. Ia susulan peluang pekerjaan mula terbuka dalam sektor kerajaan, swasta, korporat selain pengenalan beberapa inisiatif diwujudkan kerajaan seperti JaminKerja, MYFutureJobs serta Skim Perantisan Nasional. Bagaimanapun, bagi memastikan kebolehpekerjaan belia meningkat dan semakin baik pasca pandemik, peranan majikan dan pekerja belia sangat penting.

Dalam hal ini, belia perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu yang dapat memberikan nilai tambah seperti kemahiran komunikasi, digital dan lain-lain seiring cabaran alam pekerjaan masa kini. Dapatan 'Kajian Upskilling & Reskilling Study for Better Employment Opportunities Among Youth' dilaksanakan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati, penawaran skim latihan dan peluang pekerjaan yang seiring sangat penting bagi menjamin peluang pekerjaan kepada belia.

Selain itu, dapatan kajian menyarankan penawaran latihan dan peluang pekerjaan perlu menyeluruh serta tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja. Tambahan pula, penawaran kadar gaji tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup memberi impak kepada belia untuk beradaptasi dengan cabaran kos sara hidup masa kini.

Sebagai majikan pula, bagi melengkapkan ekosistem kebolehpekerjaan belia, mereka perlu sanggup memberi ruang dan peluang kepada belia bagi menimba pengalaman di alam pekerjaan serta menyediakan sistem sokongan sosial yang berupaya menyerlahkan potensi dan bakat belia.

Vellapandian adalah Ketua Pegawai Eksekutif, manakala Shahhanim Eksekutif Penyelidik Kanan I, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.