- Home
- Berita Terkini
- Hayati Mesej Al-Insan Bentuk Jati Diri Pelajar
Hayati Mesej Al-Insan Bentuk Jati Diri Pelajar
IPOH - Lebih 220 pelajar dari enam sekolah sekitar bandar raya ini menjayakan program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak pada Khamis.
Peserta, Nurul Alifah Mohammad Amin, 17, teruja apabila pertama kali menyertai program bersama enam rakan sekelas dan dapat memahami lebih lanjut karakter insan Al-Abrar yang disampaikan.
"Saya bersyukur sangat apabila cikgu memilih saya bersama rakan-rakan lain untuk menyertai program yang sebelum ini diikuti di Facebook sahaja.
"Sambil mengalunkan bacaan, saya dapat memahami maksud surah dan lebih beristiqamah untuk terus menjadi insan yang bertanggungjawab," kata pelajar Sekolah Latihan Wanita Persekutuan Seruan Islam Perak itu ketika ditemui di sini.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ahmad Nabil Firdaus, 17, dia dapat memahami maksud sebenar kemenjadian manusia menerusi surah Al-Insan.
"Saya lebih menghargai diri sendiri dalam memenuhi tanggungjawab sebagai seorang khalifah serta menghayati keagungan ALLAH SWT.
"Sebagai seorang pelajar, saya berasa lebih bersyukur dan pengetahuan yang diterima dapat dikongsikan bersama rakan lain," katanya.
Program World #QuranHour itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah manakala bacaan surah Al-Insan dialunkan oleh Imam Masjid Muhibbuddin Shah, Mohd Hafizullah Mohd Shah di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abdul Aziz.
Sementara itu, Khairudin berkata, bacaan surah Al-Insan dapat menghayati mesej sebenar selain dapat melahirkan insan yang ikhlas dan sabar dalam mengharungi cabaran kehidupan.
"Penyertaan pelajar-pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi ke program World #QuranHour ini boleh membentuk diri menjadi insan bertakwa dan nilai budi terbaik.
"Selari dengan bertujuan untuk memanusiakan ummah, ia memberi satu nilai tambah kepada diri ketika berurusan dengan masyarakat serta menjadi pendorong untuk sama-sama memartabatkan al-Quran sebagai satu panduan," katanya.
World#QuranHour
Sumber : Sinar Harian. Pautan : Sinar Harian