kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Sukar Cari Pekerja Automotif Mahir

pekerja automotif mahir

ISU keperluan tenaga mahir automotif dan pengetahuan teknologi terkini membelenggu pemilik bengkel khususnya bumiputera apabila ramai dalam kalangan pekerja bagi sektor tersebut gagal memenuhi kehendak pengusaha industri itu.

Di sebalik teknologi automotif yang kian berkembang, perkara itu menyebabkan ramai usahawan automotif yang terbeban malah ada pemilik bengkel yang terpaksa bekerja membaik pulih kenderaan di samping menguruskan pentadbiran syarikat.

Wartawan Sinar Harian, SAIFULLAH AHMAD menyingkap dilema yang dihadapi pengusaha bengkel automotif bumiputera di Perak.

Di sebalik usahawan automotif bumiputera yang semakin berkembang ketika ini, masalah tenaga kerja berkemahiran menjadi penghalang untuk mereka memajukan perniagaan.

Seorang pemilik bengkel, Hadiman Ariffin, 50, berkata, masalah yang dihadapi itu bukanlah baharu tetapi ia semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana apabila ramai pekerja yang meninggalkan kerjaya dalam bidang automotif itu dan memilih pekerjaan dalam sektor gig ekonomi.

Dia yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang automotif menjelaskan, selain itu juga graduan dari pusat latihan kemahiran dalam bidang automotif juga tidak mampu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang diinginkan bengkel-bengkel automotif.

“Macam saya sendiri ada tiga pekerja ketika ini. Sepatutnya ada enam hingga 10 orang tetapi disebabkan kekurangan pekerja ia memberi kesan kepada operasi di dua premis yang saya miliki. Pelbagai tawaran kita berikan tetapi masih sukar menarik perhatian anak muda bekerja di bengkel.

“Masalah ini bukan saya sahaja tetapi rakan-rakan pengusaha bengkel lain juga berdepan masalah sama, mereka sukar nak cari pekerja dan ada juga yang diambil bekerja tidak bertahan lama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Hadiman yang mempunyai bengkel di Silibin, Ipoh berkata, isu kekurangan pekerja berkemahiran itu turut memberi kesan kepada pelanggan yang terpaksa menanti dalam tempoh lama kenderaan mereka disiapkan.

Ujarnya lagi, sedikit sebanyak ia memberi kesan kerana ada pelanggan yang beralih ke bengkel lain kerana tidak mahu menunggu lama kenderaan mereka disiapkan.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha bengkel, Amiruddin Baharun, 41, berkata, tenaga kerja bidang automotif ketika ini amat kritikal bukan sahaja dari segi kemahiran tetapi pengetahuan dalam bidang teknologi terkini.

Menurutnya, ketika ini sektor automotif negara sedang menuju ke arah kenderaan hibrid dan elektrik namun tidak ramai tenaga kerja dan bengkel yang bersedia memenuhi keperluan tersebut.

Jelasnya, kurikulum pendidikan kemahiran dalam sektor automotif perlu dikemas kini semula agar tenaga kerja yang dihasilkan mempunyai pengetahuan dalam teknologi automotif semasa.

“Saya nampak isu tenaga kerja ini perlu dilihat secara menyeluruh selain membekalkan pekerja yang mencukupi, kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu juga melengkapkan graduan kemahiran dengan ilmu teknologi automotif terkini.

“Pusat-pusat latihan juga digesa bekerjasama dengan pihak industri agar kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama dalam melahirkan tenaga kerja automotif mahir di negara ini,” katanya yang mengusahakan bengkel di Batu Gajah.

‘Kerajaan perlu bantu segera lahirkan tenaga mahir automotif’

Sementara itu, Persatuan Pemilik Bengkel Automotif Bumiputera Perak mengharapkan bantuan serta sokongan kerajaan dalam usaha membantu sektor automotif mendapatkan tenaga kerja mahir.

Pengerusinya, Ismail Ahmad berkata, pihak persatuan sendiri memang mempunyai kerjasama dengan Pusat GiatMara di Perak dalam melahirkan pekerja mahir dalam bidang automotif menerusi latihan yang disediakan bersama pihak industri.

Menurutnya, bagaimanapun teknologi automotif ketika ini berkembang sangat pesat dengan kehadiran kenderaan jenis hibrid, elektrik dan autonomi.

“Kita akui kerajaan memainkan peranan dalam menyediakan pelbagai program kemahiran untuk pelbagai bidang termasuklah automotif namun ketika ini teknologi semakin berkembang dan pihak industri juga perlu mengikut keperluan semasa.

“Untuk itu, kita berharap pihak kerajaan dapat membantu industri dalam memperoleh jentera teknologi terkini yang sudah tentu menelan kos yang agak tinggi.

"Jadi dengan adanya teknologi terkini, maka pekerja yang dihasilkan mempunyai pengetahuan teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini kebanyakan bengkel automotif bumiputera di Perak sedang berusaha memenuhi keperluan teknologi terkini automotif berkenaan.

Jelas Ismail, sama ada mahu atau tidak, pengusaha bengkel perlu bersedia menerima perubahan bagi mengelak mereka ketinggalan.

“Pihak persatuan sedia memberikan komitmen kepada kerajaan dalam memastikan pengusaha bengkel automotif di Perak mempunyai ilmu pengetahuan dalam teknologi berkenaan sekali gus menarik minat golongan muda dalam bidang ini,” kata beliau.

Menurutnya, ketika ini memang pihak persatuan bersama- sama industri memberikan latihan kemahiran selama tiga hingga enam bulan kepada pelatih daripada GiatMara untuk memastikan graduan itu benar-benar memenuhi keperluan semasa.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan kerjasama yang baik dapat terus terjalin di antara pihak industri dengan institusi kemahiran berkaitan automotif yang lain.

Sumber : Sinar Harian. Pautan : Sinar Harian

 

 

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.