- Home
- Berita Terkini
- PEDI Jadi Pusat Sehenti Komuniti Jana Pendapatan
PEDI Jadi Pusat Sehenti Komuniti Jana Pendapatan
KUALA LUMPUR: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bukan sahaja membantu masyarakat setempat mendapatkan capaian internet, malah menjadi pusat sehenti yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan.
Pengurus PEDi Kampung Kala Star di Gua Musang, Kelantan, Siti Rohani Hamat, PEDi adalah pusat sehenti untuk komuniti mencari rujukan dalam dunia perniagaan digital dan meningkatkan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan belia serta wanita.
"Impak daripada inisiatif ini, banyak usahawan lahir daripada status pemula sehingga berjaya. Produk dipasarkan juga semakin mendapat perhatian.
"Kejayaan ini dikaitkan dengan penggunaan internet di PEDi. Contohnya, mereka memasarkan produk diniagakan di media sosial seperti Shopee dan Tiktok," katanya.
Beliau mendedahkan, ramai usahawan kecil sudah berjaya menjana pendapatan sehingga RM10,000 dengan menggunakan PEDi sebagai wadah.
"Sebelum ini, ada seorang graduan politeknik yang pulang ke kampung selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disebabkan tiada pekerjaan, dia mengusahakan perniagaan solok lada.
"Dia bermula dengan tanaman secara kecil-kecilan di rumah dan kerap ke PEDi untuk mendapatkan maklumat mengenai cara penanaman sehingga berjaya menjadi usahawan.
"Jualannya, kini boleh mencecah RM10,000 sebulan tetapi bergantung kepada harga semasa kerana harga sayur boleh berubah-ubah," katanya.
Siti Rohani berkata, sejak 2017 berkhidmat di PEDi, sambutan diterima menggalakkan kerana jarak di antara Kampung Kala Star dan bandar mengambil masa 30 minit.
"Sebelum ini, segala urusan membabitkan internet akan dilakukan di bandar. Sekarang ketika cuti persekolahan memang ramai pelajar akan datang. Pada hari bekerja pula masyarakat setempat akan ke PEDi, kebetulan kami berada di sebelah pusat komuniti, jadi pusat ini kerap digunakan.
"Selain peniaga dalam talian, antara pengunjung yang selalu menggunakan perkhidmatan kami adalah pelajar, kakitangan kerajaan, jururawat, guru tadika KEMAS dan guru sekolah. Boleh dikatakan mereka menggunakan perkhidmatan PEDi setiap hari," katanya.
Tingkat kreativiti komuniti
Katanya, PEDi turut berperanan sebagai pusat pencerahan minda dan meningkatkan daya kreativiti komuniti.
"Setiap bulan kita ada kelas latihan untuk ICT supaya dapat membantu pelajar lebih celik dalam bidang IT. Kita juga selalu mengadakan program bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan banyak lagi," katanya.
Siti Rohani berharap komuniti dapat menyokong manfaat dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan supaya dapat berdaya saing tanpa sebarang jurang.
"Walaupun dalam hidup ini ada halangan, harapan saya supaya masyarakat dapat menggunakan PEDi supaya lebih celik dalam bidang IT untuk masa hadapan," katanya.
Bantu rakyat setempat
Sementara itu, Pengurus PEDi Taman Yayasan di Segamat, Johor, Noranidah Mohamad, berkata PEDi banyak membantu masyarakat tempatan.
"Antara pengunjung hadir ke PEDi adalah ibu bapa yang mahu menggunakan perkhidmatan internet untuk mendaftar anak ke sekolah rendah kerana semua perkara sekarang dilakukan secara dalam talian," katanya.
Noranidah berkata, program yang sering dilakukan adalah melatih usahawan secara percuma.
"Fokus kami untuk memperkasakan usahawan kecil ke arah digital bagi meningkatkan ekonomi masyarakat setempat terutamanya di luar bandar. Kami juga bertindak selaku penyampai maklumat kepada komuniti, terutama usahawan untuk sebarang geran ataupun peluang perniagaan yang ada.
"Ada usahawan menggunakan komputer untuk mencari maklumat. Selain itu, ada yang hadir untuk datang mendapatkan latihan. Kami ada mengajar menyunting, menjadi penasihat untuk memulakan malah jika ada pelajar mempunyai masalah untuk melakukan tugasan juga kami akan bantu," katanya.
Beliau berkata, ada usahawan yang sudah berjaya selepas mengikut kelas latihan asas Shopee yang disediakan.
"Usahawan ini menjual kerepek, yang mengikuti kelas kami adalah dua anaknya. Disebabkan komitmen mereka, perniagaannya kini lebih maju. Operasi digital bagi menjual kerepek ini diuruskan oleh anaknya yang menghadiri kelas.
"Usaha berterusan membolehkan pendapatan usahawan ini meningkat sebanyak 100 peratus dan laris terutama ketika musim perayaan. Dia kini menghantar pekerjanya untuk menyertai kelas fotografi dan ilmu untuk mengendalikan TikTok," katanya.
Beliau menggalakkan komuniti untuk lebih mengambil peluang bagi menggunakan setiap fasiliti yang disediakan.
"Kita bukan sekadar melatih, malah sentiasa memantau perkembangan bagi memastikan usahawan sentiasa meningkatkan taraf hidup," katanya.
Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian