- Home
- Berita Terkini
- 'Selesai Segera Isu Pelajar Enggan Ambil SPM, Elak Keciciran Pendidikan Berterusan'
'Selesai Segera Isu Pelajar Enggan Ambil SPM, Elak Keciciran Pendidikan Berterusan'
KUALA LUMPUR: Pakar Pendidikan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif dan komprehensif bagi menyelesaikan isu pelajar yang enggan belajar atau tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam usaha mengelak keciciran pendidikan di negara ini.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata langkah ini perlu kerana semakin ramai golongan muda mengambil keputusan tidak mahu belajar, selain tidak menduduki peperiksaan dan memilih untuk bekerja.
Katanya, gaya hidup iaitu membenarkan keputusan anak tidak mengambil peperiksaan SPM susulan mereka memilih bekerja lebih awal untuk mendapat pendapatan bagi membantu menyara keluarga tidak seharusnya dibiarkan berleluasa.
"Keadaan ini jika dibiar berterusan akan menyebabkan pelajar berasakan pendidikan tidak memberi jaminan kepada kehidupan mereka pada masa depan. Sebab itu mereka mengambil keputusan berhenti belajar atau tidak mengambil peperiksaan dan terus bekerja.
"Jika kita lihat profil pelajar yang tidak menduduki peperiksaan ini, mereka dalam kalangan murid dalam kumpulan prestasi akademik lemah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
"Pencapaian akademik golongan ini tidak memberangsangkan kerana lemah dalam membaca, menulis dan mengira (3M).
"Pada waktu sama, mereka sudah hilang kepercayaan kepada jaminan bahawa pendidikan akan memberi peluang lebih baik dalam kehidupan pada masa depan," katanya kepada BH.
BH sebelum ini melaporkan, sudah bekerja atau hilang minat meneruskan pelajaran dikenal pasti antara punca menyebabkan 1,106 daripada 32,735 calon SPM 2022 di Perak tidak menduduki peperiksaan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, dilaporkan berkata kaedah pembelajaran secara dalam talian juga menyebabkan ada pelajar tidak menamatkan persekolahan kerana sudah menjana pendapatan sendiri dengan bekerja sambilan.
Mengulas lanjut, Anuar berkata antara langkah boleh diambil KPM adalah dengan memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar seawal Tingkatan Satu lagi, supaya kumpulan pelajar yang tidak berminat dengan akademik ini boleh dialirkan ke bidang terbabit, seterusnya mengelakkan isu keciciran pelajar.
"Dengan cara ini, bagi pelajar yang tidak berminat bidang akademik atau mereka yang mempunyai prestasi lemah dalam akademik, boleh masuk aliran TVET kerana mungkin mereka lebih selesa dan serasi dengan program di bidang itu.
"Jadi kita berharap KPM boleh mempertimbangkan TVET diperkenal sejak Tingkatan Satu lagi," katanya.
Anuar berkata, pemantauan terhadap prestasi pelajar sejak Tingkatan Satu juga perlu dilakukan dengan proaktif, bukan hanya ketika SPM.
"Pemantauan ini perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka berada dalam prestasi akademik yang memuaskan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Akademik Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa ), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Suriyani Ariffin berkata, sudah tiba masanya kerajaan menyediakan satu platform pilihan lain bagi pelajar bukan hanya SPM.
"Kerajaan perlu menyediakan pelbagai sijil lain yang setaraf dengan SPM sebagai penanda aras untuk pelajar masuk ke pengajian lebih tinggi kelak.
"Dengan adanya sijil ini, pelajar mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih program atau bidang diminati," katanya.
Sumber : Berita Harian
Pautan : Berita Harian