- Home
- Berita Terkini
- Lebih Banyak Peluang Belia India Ikuti TVET, Matrikulasi
Lebih Banyak Peluang Belia India Ikuti TVET, Matrikulasi
SEBERANG JAYA: Kerajaan akan menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar India memasuki program matrikulasi serta Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi sebagai jaminan masa depan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu adalah antara usaha kerajaan membantu menyelesaikan masalah yang menghimpit masyarakat India secara berperingkat.
"Ada rayuan agar pelajar India diberikan ruang lebih besar dalam pendidikan TVET bagi menyelesaikan isu pengangguran dan masalah sosial.
"Ini akan membolehkan tekanan kemiskinan dalam kalangan masyarakat India di negara ini diatasi secara berperingkat," katanya berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Pulau Pinang di sini, hari ini.
Anwar berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sudah diminta membentuk jawatankuasa khas menilai kaedah penawaran penempatan pelajar ke matrikulasi dan program pra-universiti kepada pelajar cemerlang.
"Pasukan khas ini akan melihat ruang lebih banyak diberi kepada pelajar bukan Bumiputera, termasuk anak masyarakat India yang cemerlang.
"Menteri dijadual memberikan laporan awal mengenai pelan ini dalam tempoh satu atau dua minggu ini.
"Kita tidak mahu anak cemerlang dinafikan hak dalam sistem pendidikan negara," katanya.
Perdana Menteri menegaskan, pelaksanaan program itu akan dilakukan tanpa mengenepikan sistem kuota yang dikekalkan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera.
Sumber : Berita Harian
Pautan : Berita Harian