- Home
- Berita Terkini
- Perkasa, Tambah Baik Pendidikan TVET Lahir Graduan Lebih Terlatih
Perkasa, Tambah Baik Pendidikan TVET Lahir Graduan Lebih Terlatih
KUANTAN, 1 Ogos (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia perlu bagi melahirkan graduan lebih terlatih, sekali gus menikmati gaji lebih baik.
Anwar berkata walaupun peratusan lulusan TVET yang mendapat pekerjaan tinggi, namun beliau tidak berpuas hati dengan gaji diterima graduan berkemahiran berkenaan, yang secara umumnya masih di bawah RM2,000 berbanding pekerja TVET luar negara, yang menikmati gaji lebih baik.
“Sasaran harus antara RM2,500 hingga RM3,000 atau lebih baik daripada yang ada sekarang. Ini terbukti dan bukan teori. Di Jerman, pengalamannya lebih tertumpu kepada TVET,lulusan TVET upahnya lebih tinggi. Kita puluhan tahun pun gajinya mendatar, naik sedikit,” katanya.
Anwar berkata demikian pada Program Temu Anwar Kuantan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Cadangan menambah baik latihan dan kemahiran TVET juga, menurut Anwar pernah disuarakan oleh beberapa pemain industri termasuk Tesla Sdn. Bhd. (Tesla), pada perbincangan yang berlangsung sebelum ini dengan mencadangkan beberapa elemen tambahan kepada pendidikan kemahiran itu.
Anwar berkata penambah baikan itu boleh dilakukan menerusi kerjasama antara institusi pendidikan TVET dengan pemain industri di ‘lokasi sebenar’, seperti pengeluar kereta nasional Proton membantu TVET di Pekan yang mendapat jolokan bandar automotif Pahang, atau syarikat automotif China Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), di Tanjung Malim, Perak.
Menjawab soalan seorang pelajar mengenai peluang pelajar TVET untuk mendapatkan penajaan ke luar negara, Anwar berkata kerajaan tidak menghalang jika terdapat keperluan untuk penajaan dalam bidang tertentu yang tiada dalam negara.
Pada majlis, itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta untuk membaiki infrastruktur institusi berasaskan TVET di Pahang, yang mendapat sorakan daripada hampir 5,000 pelajar yang hadir.
Pada program santai itu, Perdana Menteri turut menasihatkan generasi muda untuk tidak mudah mempercayai semua informasi di media sosial, kerana terdapat banyak perkara tidak benar disebarkan di platform komunikasi itu.
Anwar berkata walaupun teknologi baru seperti media sosial penting dan boleh membawa kebaikan, dalam masa sama kemudahan itu juga boleh merosakkan, jika digunakan'tanpa ilmu dan tanpa periksa', menjadikan ia suatu cabaran buat generasi muda.
“Media sosial penting? Ya. Praktikal? juga ya. Tetapi perlu digunakan dengan betul dan tidak hanya tertipu. Media sosial ini ada manfaat, sebab itu saya kata kena fikir. Latih anak-anak untuk memanfaatkan kemudahan ini tetapi perlu juga membaca.
“Ini (media sosial) keperluan yang sangat penting untuk mencari maklumat dengan pantas tetapi kita juga perlu membaca, semak dan saring. Tiada ilmu yang boleh dikuasai hanya dengan satu dua minit (seperti yang dipaparkan di media sosial)," katanya.
Sumber : Bernama
Pautan : Bernama