- Home
- Berita Terkini
- Letakkan TVET Di Bawah Satu Kementerian, Tangani Kecelaruan Ekosistem
Letakkan TVET Di Bawah Satu Kementerian, Tangani Kecelaruan Ekosistem
KUALA LUMPUR: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertujuan memperkukuh pasaran buruh negara, sudah dilaksanakan sejak sekian lama, namun di sebalik potensi besar yang ditawarkan oleh bidang itu ramai lepasan TVET menceburi sektor lain selepas tamat pengajian.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong meletakkan ketidakseragaman pendekatan serta sikap 'in silo' (bersendirian) kebanyakan agensi dan institusi TVET sebagai punca ketidakpadanan pekerjaan itu, dan ini disokong oleh Pengerusi Persatuan Pembangunan TVET Nasional Mohamad Yaacob.
Bercakap kepada Bernama, Mohamad berkata, ketika ini terdapat 12 kementerian dan agensi berbeza yang mengendalikan institusi berkaitan TVET di seluruh negara, namun tidak kesemuanya menuruti Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), iaitu sistem yang diiktiraf oleh pemain industri di negara ini.
SPKM digubal berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangun hasil dapatan daripada pemain industri dan agensi berkaitan, bermakna sijil yang dikeluarkan di bawah SPKM memenuhi keperluan industri.
Mohamad yang merujuk laporan agensi perundingan antarabangsa Boston Consulting Group pada 2009, berkata disebabkan oleh tindakan agensi berkenaan menawarkan pensijilan dan kurikulum pembelajaran mereka sendiri, lepasan yang dikeluarkan institusi terbabit menjadi "pilihan kedua" pihak industri berbanding lulusan SPKM.
Kepelbagaian sijil dan kurikulum itu juga menimbulkan kecelaruan dalam ekosistem TVET, dan lebih merugikan ialah berlaku pembaziran daripada peruntukan kira-kira RM6 bilion setahun untuk bidang itu disebabkan oleh pertindihan lebih 6,000 kursus yang ditawarkan, katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini terdapat 3,231 pusat bertauliah yang melaksanakan SPKM, dan hingga Jun 2023, institusi terbabit telah melahirkan sebanyak 689,961 pekerja mahir dan 1,509,356 pekerja separa mahir.
"Antara institusi yang menjalankan SPKM sepenuhnya ialah kesemua 21 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) serta 32 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang telah berjaya melahirkan ramai graduan TVET berprestasi tinggi," katanya.
Pada masa sama, ada institut di bawah satu agensi kerajaan yang sebahagiannya melaksanakan SPKM dan separuh lagi menjalankan pensijilan sendiri seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Ini belum diambil kira institusi latihan kemahiran swasta yang menawarkan sijil kemahiran dan kurikulum tidak berlandaskan SPKM," katanya, menambah ribuan lepasan institusi terbabit memasuki pasaran tenaga kerja setiap tahun.
Pengiktirafan SPKM yang termaktub dalam Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652), menawarkan lima tahap pensijilan, iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, 2 dan 3; Tahap 4 atau Diploma Kemahiran Malaysia; dan Tahap 5 iaitu Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.
Berdasarkan Seksyen 22 (3) Akta 652, sesuatu sijil di bawah SPKM harus diukur menurut NOSS, iaitu dokumen yang menggariskan keperluan kompetensi bagi pekerja mahir, dan dokumen ini disemak semula setiap lima tahun oleh pihak industri.
Sehubungan itu kata Mohamad, kegagalan pusat latihan termasuk kolej komuniti serta kolej vokasional (KV) menawarkan sijil di bawah SPKM memberi kesan kepada kebolehpasaran lulusan institusi terbabit.
"Apa yang terjadi apabila mereka tamat belajar ialah pihak industri kurang berpuas hati dengan sijil yang mereka ada memandangkan ada graduan lain yang lebih layak kerana memiliki SPKM dan patuh NOSS. Sudah tentunya graduan sebegini lebih diminati untuk diambil bekerja oleh industri dan majikan.
"Disebabkan sukar mendapat pekerjaan kerana pihak industri lebih memilih graduan yang ada kelayakan SPKM, sudah tentu graduan ini terpaksa bekerja dalam bidang yang bukan melibatkan kemahirannya. Ini merugikan negara kerana kita amat memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir di samping mengurangkan kebergantungan pada tenaga buruh asing," kata beliau.
Jelas beliau, NOSS dibangunkan mengikut Kerangka Pekerjaan (OF) yang menggariskan struktur pekerjaan secara menyeluruh, merangkumi bidang kerja dan tajuk perjawatan mengikut tahap bagi sesebuah industri yang secara langsung menentukan kadar gaji.
Ringkasnya kata beliau, NOSS digubal bagi melahirkan pekerja yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak industri yang seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Jelas Mohamad, setiap tahun Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia membangunkan 10 hingga 20 tajuk baharu NOSS agar seiring dengan pergerakan teknologi dalam industri.
"Namun mengapa terdapat kementerian atau agensi lain yang membangunkan semua ini sendiri dan bekerja secara in silo, walhal mereka boleh sahaja mengguna pakai apa yang telah dibangunkan JPK? Di sini kita lihat ada ketidakseragaman dan pembaziran kewangan," kata beliau.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran Mohammad Rizan Hassan, berkata kerjasama kerajaan dengan pihak industri perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan bukan hanya bersifat kosmetik atau kerjasama secara dasar semata-mata.
Isu kebolehpasaran dan ketidakpadanan kerja yang terus menghantui graduan TVET juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor lain, antaranya penggunaan peralatan dan teknologi usang yang kurang menepati keperluan semasa pihak industri, terutamanya di institusi TVET awam.
Mengambil contoh industri automotif, beliau berkata masih wujud pusat latihan menerima guna peralatan atau mesin berasaskan enjin karburator, walhal teknologi terkini enjin motosikal telahpun menggunakan sistem suntikan bahan api (fuel injection), sistem hibrid dan kenderaan berasaskan elektrik (EV).
"Apatah lagi, masih ada tenaga pengajar pusat latihan TVET yang tidak dipertingkatkan kemahiran bagi mengendalikan mesin-mesin berteknologi tinggi, khususnya di pusat latihan kemahiran yang bekerjasama dengan pihak industri yang membekalkan peralatan terbabit.
"Sebagai contoh, dulu mesin pembuatan am hanya guna lengan artikulasi dua paksi dan mudah dikendalikan. Namun kini sudah ada mesin dengan lengan artikulasi enam paksi yang lebih kompleks untuk dikendalikan," katanya.
Sekiranya tenaga pengajar sendiri tidak dilatih menggunakan mesin berteknologi tinggi sebegini, dikhuatiri akan turut merencatkan perkembangan modal insan bagi manfaat industri TVET kerana pelajar tidak dapat belajar mengendalikan teknologi terkini.
Oleh itu, Mohammad Rizan mencadangkan supaya kerajaan segera mengubah pendekatan sedia ada bagi membolehkan peralatan pembelajaran dapat dikemas kini berdasarkan keperluan semasa industri, terutamanya di institusi TVET awam, sementara tenaga pengajar pula dapat dilatih menggunakan mesin-mesin berteknologi tinggi tersebut.
Kerajaan juga diharap dapat membantu institusi TVET swasta yang turut bertungkus-lumus menyediakan platform dan peralatan pembelajaran dengan menawarkan geran padanan yang boleh meringankan beban institusi terbabit. – BERNAMA
Sumber : Berita Harian
Pautan : Berita Harian