- Home
- Berita Terkini
- Pertandingan Pupuk Budaya, Minat Bersukan
Pertandingan Pupuk Budaya, Minat Bersukan
Selaras dengan Visi Sukan Negara 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), program pembangunan sukan penting dalam mewujudkan budaya bersukan. Sukan menjadi medium penting bagi melahirkan masyarakat cergas dan aktif.
Justeru, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan dalam usaha menyokong budaya sukan dan aktiviti sukan di negara ini termasuk Inisiatif Sukan Rahmah dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada awal bulan ini untuk membantu lapisan masyarakat kurang berkemampuan untuk bersukan, sekali gus antara mekanisme menyokong 10 minggu hingga Hari Sukan Negara 2023 dijangka 14 Oktober ini.
Model Pembangunan Belia MADANI 2030 juga memberi penekanan terhadap kecergasan dan kesejahteraan hidup terutama golongan belia dinamik, kompeten, berdaya saing serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran.
Namun, antara cabaran dihadapi dalam konteks pembudayaan sukan ialah pembabitan menyeluruh, konsisten dan penyertaan aktif dalam kalangan masyarakat walaupun pelbagai inisiatif diperkenalkan.
Dapatan Kajian Indeks Budaya Sukan (IBSM) 2022 menunjukkan 48 peratus rakyat berusia 13 tahun dan ke atas di negara ini terbabit dalam aktiviti sukan, sekali gus menjadikan 52 peratus tidak berada dalam ekosistem sukan di negara ini.
Peratusan individu terbabit dalam bersukan masih rendah dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa contohnya menggalakkan bersukan dengan tawaran ganjaran melalui pertandingan.
Oleh itu, Malaysia Sports League (MSL) antara contoh program yang perlu diperluaskan. Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) itu, antara program sukan berbentuk pertandingan.
Objektif program ini adalah melatih masyarakat tempatan dalam melaksanakan aktiviti sukan, menggalakkan masyarakat membudayakan sukan, meningkatkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat, sekali gus meningkatkan kemahiran sukan dan kesukarelawanan dalam kalangan komuniti setempat.
Program ini membabitkan sukan sepak takraw, bola jaring, badminton, futsal dan bola keranjang yang dilaksanakan pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan yang hingga kini membabitkan 105,556 penyertaan sejak kejohanan berstruktur ini dimulakan pada Mac tahun lalu.
Hasil kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati secara keseluruhannya, penganjuran MSL memberi kesan positif kepada pembangunan sukan setempat dan kepuasan peserta berada pada tahap baik.
Kajian itu juga mendapati faktor utama penyertaan tinggi dalam MSL adalah minat, iaitu 83.3 peratus; pengaruh rakan (49.0 peratus); kecergasan (47.1 peratus); kesihatan (46 peratus) dan amalan gaya hidup sihat (42.7 peratus).
Program sukan berbentuk pertandingan seumpama ini menawarkan ganjaran berbaloi kepada pemenang, sekali gus menjadi antara faktor penarik individu untuk menyertainya. Namun, kesan utama diharapkan adalah peningkatan semangat dan minat bersukan, mencungkil bakat baharu berpotensi dan kekal aktif dalam bersukan walaupun selepas program dilaksanakan.
Oleh itu, pembabitan dan penyertaan menyeluruh masyarakat untuk bersukan perlu digiatkan terutama melalui pertandingan sukan seumpama ini selaras matlamat Dasar Sukan Negara 2009 untuk memupuk budaya sukan melalui Sukan Untuk Semua, Sukan Prestasi Tinggi dan sukan sebagai industri.
Penulis adalah Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Sumber : Berita Harian
Pautan : Berita Harian