- Home
- Berita Terkini
- Petani Muda Usahakan Tembikai Di Tanah Terbiar, Beri Pulangan Lumayan
Petani Muda Usahakan Tembikai Di Tanah Terbiar, Beri Pulangan Lumayan
GUA MUSANG, 22 Ogos (Bernama) - Usaha petani muda Mohd Azaruriduwan Ghazali mengerjakan tanah rizab yang terbiar di Felda Chiku 2, di sini memberi pulangan lumayan apabila berjaya menuai hingga 40 tan metrik tembikai boci dalam semusim sejak tiga tahun lepas.
Mohd Azaruriduwan, 34, berkata hasil tanaman yang dikerjakan bersama isteri Nurul Nadira Mohammad Fendi, 33, dan dua rakannya berjaya dipasarkan hingga ke Singapura melalui seorang pemborong.
Beliau berkata mereka mendapat keizinan daripada pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi mengusahakan tanah rizab seluas 1.2 hektar tersebut, dengan modal permulaan lebih RM40,000 untuk tujuan pembukaan tanah, benih, baja, pagar dan proses penjagaan.
“Tembikai yang kami jual adalah daripada gred A dan difahamkan ia turut dieksport ke Singapura oleh pemborong. Ia dijual bergantung pada harga borong semasa antara RM1.40dan RM3 sekilogram (kg) dengan berat mencecah hingga 10 kilogram (kg) sebiji," katanya ketika ditemui pemberita di Felda Chiku 2 di sini hari ini.
Menurutnya untuk tempoh setahun mereka dapat menanam tembikai boci tanpa biji itu antara dua hingga tiga musim bergantung kepada keadaan cuaca kerana tanaman itu tidak boleh ditanam pada musim hujan bagi mengelak buah rosak atau ditenggelami air.
Rakannya, Mohamad Hafzan Mohammad Fendi, 29, pula berkata tanaman tembikai boci itu menjadi sumber pendapatannya sejak 2020 lepas hingga kini dan beliau amat berbangga dengan pekerjaannya sebagai petani muda.
Menurutnya selain dapat 'menumpang' di tanah rizab itu, mereka turut memperoleh bantuan dan sokongan Felda serta pernah diberi tawaran menghadiri kursus berkaitan penanaman tembikai boci.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Felda yang memberi keizinan untuk menggunakan tanah rizab ini.
"Tembikai boci ini tidak mengambil masa lama untuk mengeluarkan hasil, malah selepas 60 hari penanamannya ia sudah mula berbuah dan cuma kami perlu jaga tanaman inidengan rapi," katanya.
Sumber : Bernama
Pautan : Bernama