kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Belanjawan 2024: TVET Diperuntuk Rm6.8 Bilion, Bangun Bakat Tempatan

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM6.8 bilion bagi memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini pada tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini berkata ia melibatkan RM100 juta bagi menyediakan pensijilan profesional yang dikitiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.

"Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) pula akan memanfaat dana RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan.

"HRD Corp akan menguntukkan semula dana khas menggunakan 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan MADANI merangkumi program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta golongan rentas seperti bekas banduan, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan pesara," katanya.

Beliau menjelaskan Belanjawan MADANI pertama telah memulakan secara rintis usaha merombak pendidikan TVET negara melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dengan 17 GLC dan 44 syarikat swasta telah terlibat dalam pemeteraian 61 memorandum persefahaman setakat 5 Okt lepas.

Sementara itu, Anwar berkata Program Academy in Industry akan dilaksanakan untuk menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh hingga 18 bulan dengan peruntukan RM70 juta manakala RM30 juta sebagai galakan kepada pihak industri untuk melatih tenaga kerja tempatan.

Perdana Menteri turut berkata Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan Dana Latihan TVET berjumlah RM180 juta akan menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih mengikuti Program Persijilan Kemahiran.

Selain itu, RM20 juta dikhaskan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa.

Beliau juga mengumumkan RM17 juta disediakan untuk melaksanakan Program Tahfiz TVET yang akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan.

Bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, Anwar mengumumkan kerajaan melanjutkan pelepasan cukai sehingga RM2,000 bagi yuran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri hingga tahun taksiran 2026.

"Kerajaan juga akan memperluas skop bagi pelepasan gaya hidup meliputi yuran untuk menyertai kursus kemajuan kendiri seperti kursus bahasa, fotografi, menjahit dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA

 

Sumber : BERNAMA

Pautan : BERNAMA

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.