- Home
- Berita Terkini
- TVET Sebagai 'Game Changer' Untuk Menjadi Negara Maju - Timbalan Menteri
TVET Sebagai 'Game Changer' Untuk Menjadi Negara Maju - Timbalan Menteri
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disifatkan sebagai ‘game changer’ atau pengubah keadaan dalam usaha negara untuk menjadi negara maju.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud berkata fokus kepada TVET juga mampu meningkatkan ekonomi dengan membekalkan pelbagai pekerjaan kepada generasi muda.
Beliau berkata dengan 33 Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara, pelajar aliran TVET menunjukkan kebolehpasaran sebanyak 95 peratus dalam bidang perindustrian yang mampu menjana pendapatan tinggi.
“Kami telah melawat beberapa negeri yang melahirkan graduan institut TVET bukan sahaja kebolehpasaran yang tinggi tetapi gaji juga (tinggi) terutamanya yang menjalankan tugas di luar negara seperti kimpalan dalam air dalam sektor minyak dan gas,” katanya dalam temu bual Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang melaksanakan program TVET MADANI iaitu program melawat alumni TVET ILP yang berjaya menjadi usahawan menerusi kepakaran mereka.
Mustapha berkata sebagai contoh, seorang alumni TVET di Jitra, Kedah telah membuka perniagaan membaiki pendingin hawa dan mendapat pulangan sebanyak RM2.5 juta tahun lepas serta terkini pada Julai lepas, beliau meraih pulangan RM2.6 juta.
“Kami juga melawat seorang usahawan di Melaka yang merupakan alumni TVET, dia pula membaik pulih pendingin hawa dan menjual barangan seperti pendingin hawa dibaik pulih dengan harga yang murah dan bertahan selama tiga tahun. Saya bangga dengan alumni TVET kita,” katanya.
Beliau berkata KSM telah melancarkan Unit Pengambilan TVET (UPTVET) bagi menyelaraskan permohonan dan mengelakkan pertindihan pada laman sesawang https://mohon.tvet.gov.my.
Sumber : Bernama
Pautan :Bernama