kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Kerajaan Usaha Sedaya Upaya Ringankan Beban Belia, Mahasiswa - Anwar

 

13122023   beban belia mahasiswa

 

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) - Kerajaan memberi jaminan akan berusaha sedaya-upaya untuk meringankan beban rakyat khususnya golongan belia dan mahasiswa di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada keupayaan dana kerajaan.

Sehubungan itu beliau berkata kerajaan akan berbincang sebelum memutuskan sama ada inisiatif program eBelia Rahmah yang diagihkan kepada golongan belia berusia 18 sehingga 20 tahun akan diteruskan atau tidak.

“Kita tangguh (keputusan sama ada untuk teruskan atau tidak) sehingga awal tahun depan untuk kita kaji semula, berapa pendapatan daripada kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), kita ada Ketua Pengarah Kastam yang baharu, lebih dinamik, lebih garang.

“Hasil pun kian bertambah, kemudian saya dapat tahu LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia) pun hasilnya bertambah. Kalau hasil bertambah, Insya-Allah kita akan belanja dengan baik,” katanya pada sesi dialog sempena penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Program eBelia Rahmah 2023 adalah pemberian kredit e-tunai RM200 kepada belia yang berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) bertujuan untuk memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dan meringankan beban kewangan golongan belia yang mula dituntut dari 26 Jun hingga 22 Ogos lepas.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkaitan inisiatif eBelia Rahmah.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan meningkatkan kemudahan asas di universiti-universiti awam di negara ini secara berperingkat menggunakan beberapa kaedah kerana peruntukan tahun ini lebih menjurus kepada golongan yang lebih memerlukan.

Beliau berkata kemudahan itu termasuk tandas dan liputan rangkaian telekomunikasi 5G di asrama, selain memberi jaminan terdapat projek tambahan di peringkat universiti.

Menjawab rungutan pelajar mengenai Menu Siswa Rahmah dengan hidangan RM3.50 tidak dilaksanakan di beberapa universiti, Perdana Menteri mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyemak semula dengan semua universiti berhubung perkara itu.

Sementara itu Anwar menjelaskan kerajaan kini dalam usaha meningkatkan mutu latihan kejuruteraan, pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan industri serta pelabur, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk.

“Jadi, seluruh program pendidikan...harus juga dirombak, saya bicara dengan Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan)...KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) supaya memenuhi keperluan semasa. Latihan itu harus cepat berganjak.

“Yang penting sekarang ialah bentuk latihan dan kita minta supaya semua universiti, sistem pendidikan negara menuju ke situ,” katanya.

Anwar turut meluahkan perasaan resah apabila permainan sentimen perkauman diteruskan di negara ini oleh segelintir pihak sedangkan tumpuan perlu diberikan terhadap isu ekonomi, AI, pelaburan dan transisi tenaga yang memerlukan tenaga anak muda.

“Jangan diheret untuk bincang perkara-perkara yang lapuk, jumud, merosakkan, timbul kebencian antara satu sama lain, tiada (isu) lain ke, bersyarah sahaja benci orang itu, laknatkan orang ini, maki orang itu,” katanya yang turut meminta anak muda untuk tidak membenarkan penghasut sebegitu mendapat perhatian, malah memfokus kepada perancangan teknologi, AI dan mutu pendidikan negara.

Beliau juga meminta pelajar untuk menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Tamil dan Mandarin merentasi kaum.

Sesi dialog berkenaan turut menyaksikan penyertaan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

Sumber : Bernama
Pautan  : Bernama

 

 

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.