- Home
- Berita Terkini
- TALENTBANK Perkenal Indeks Kebolekerjaan Siswazah, Bimbing Pelajar Pilih Universiti
TALENTBANK Perkenal Indeks Kebolekerjaan Siswazah, Bimbing Pelajar Pilih Universiti
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) - Syarikat pengambilan siswazah, Talentbank baru-baru ini memperkenalkan Indeks Kebolehkerjaan Siswazah Kebangsaan (Indeks GE Talentbank) bertujuan mengubah cara golongan muda merancang kerjaya mereka dan membantu pihak universiti membentuk kurikulum yang dapat memenuhi permintaan industri.
Indeks GE merupakan panduan kerjaya yang penting, direka secara strategik untuk membentuk semula pendekatan pelajar terhadap perjalanan pendidikan mereka dengan menawarkan pelan hala tuju yang proaktif bagi menjadikan pendidikan mereka selaras dengan permintaan pasaran pekerjaan sebenar.
Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank Ben Ho dalam kenyataan baru-baru ini berkata menerusi Indeks GE Talentbank, syarikat itu kini mengorak langkah penting kearah menangani masalah penggangguran siswazah di Malaysia.
"Kami percaya perancangan kerjaya perlu dilakukan di awal perjalanan pendidikan mereka, bukan hanya ketika di tahun akhir universiti. Pendekatan proaktif ini akan membolehkan pelajar membuat keputusan yang lebih bijak tentang pendidikan dan laluan kerjaya mereka, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia apabila tamat pengajian nanti,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Talentbank memaklumkan penyelidikan terhadap Indeks GE itu telah dimulakan pada 2020 dan ia berasaskan kepada tinjauan meluas bersama beberapa majikan siswazah terkenal, dengan memfokus kepada universiti pilihan mereka bagi pengambilan kerja.
Menurut Talentbank usaha selama tiga tahun itu melibatkan perancangan teliti, membangunkan bukti konsep yang menyeluruh dan memperkenalkan pasaran strategik bagi memastikan kesahihan metodologi dan hasil yang boleh dipercayai.
“Metodologi berkenaan meliputi tiga aspek utama iaitu mengenal pasti universiti yang menjadi pilihan majikan, mengukur jumlah siswazah yang diambil bekerja dari setiap universiti dan menilai kekerapan pengambilan berdasarkan kepada prestasi positif,” menurut kenyataan itu,
Menurut kenyataan itu Indeks GE memberikan sudut pandangan yang holistik terhadap sejauh mana universiti mempersiapkan pelajar mereka untuk memasuki sektor tenaga kerja.
Sementara itu, Indeks GE Talentbank berkenaan diumumkan pada majlis Penyampaian Anugerah Pilihan Siswazah ke-6, yang dilancarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman di Sunway Resorts Hotel baru-baru ini.
Indeks GE Talentbank ialah pusat penyelidikan dan perundingan bebas, yang mahir dalam bidang kebolehpasaran siswazah, dengan melakukan penilaian terhadap beribu majikan terkemuka dalam sektor industri utama untuk memahami arah aliran pekerjaan dalam kalangan siswazah.
Ia turut menumpu kepada meningkatkan pengetahuan dan pengalaman bagi menggalakkan kebolehpasaran siswazah yang lebih baik.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Indeks GE Talentbank oleh layari https://www.talentbankgroup.com.
Sumber : Bernama
Pautan : Bernama