- Home
- Berita Terkini
- Hari TVET Negara: Pengunjung ambil peluang rebut 3,000 peluang kerja
Hari TVET Negara: Pengunjung ambil peluang rebut 3,000 peluang kerja
BANTING: Penganjuran Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara bermula hari ini mendapat sambutan dengan tumpuan utama membabitkan graduan yang rata-ratanya mahu merebut lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan.
Peluang pekerjaan itu ditawarkan lebih 20 syarikat khususnya bersempena program dua hari yang berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, di sini.
Bagi graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif daripada Politeknik Sultan Azlan Shah, K Kaviarasan, dia semestinya tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba nasib selepas kira-kira setahun tidak bekerja akibat terbabit kemalangan.
"Akibat kemalangan saya terpaksa berehat selama setahun selepas pembedahan.
"Sebelum ini, saya ada menghadiri pelbagai temu duga kerja namun disebabkan dalam proses pemulihan (selepas pembedahan), saya tidak 'fit' (cukup kuat) untuk melakukan kerja fizikal yang berat.
"Memandangkan sambutan Hari TVET Negara dianjurkan di sini, saya mengambil peluang untuk menghantar permohonan kerja kepada beberapa syarikat. Semoga ada rezeki saya kali ini," katanya yang memiliki pengalaman sebagai juruteknik automotif selama enam tahun.
Pelajar Diploma Pengajian Islam Universiti Sultan Azlan Shah, Amir Amsyar Nooradren pula berkata, kehadirannya ke karnival berkenaan untuk mendapatkan lebih maklumat berkenaan bidang TVET.
"Karnival seperti ini bagus kerana menyediakan pelbagai maklumat berkenaan TVET yang mungkin kita kurang tahu sebelum ini.
"Saya juga meninjau jika ada program menarik terutamanya dalam bidang elektrikal yang boleh disertai selepas tamat pengajian di peringkat diploma kelak," katanya yang berasal dari Puchong.
Pelbagai program menarik menanti pengunjung sepanjang dua hari program antaranya pameran dan demonstrasi kemahiran oleh institusi TVET, permohonan secara langsung menyertai program TVET, pameran teknologi oleh pihak industri, pameran aeroangkasa dan kenderaan elektrik.
Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr Mohd Faizal Tokeran berkata, aktiviti dan program yang akan berlangsung terangkum dalam lima hab iaitu TVET Exhibition; TVET Seminar; TVET Job Fair; TVET Entrepreneur dan TVET Challenge.
"Kita sasarkan lebih 15,000 pengunjung hadir meraikan Hari TVET Negara 2024 meliputi segenap lapisan masyarakat bukan sahaja golongan belia dan lepasan sekolah tetapi juga ibu bapa, orang awam.
"Dengan pelaksanaan pelbagai program menarik, kita dapat hebahkan lebih meluas mengenai peluang dan potensi yang ada dalam bidang TVET," katanya.
Sumber : Berita Harian
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1255963/hari-tvet-negara-pengunjung-ambil-peluang-rebut-3000-peluang-kerja