- Home
- Berita Terkini
- KBS sasar 21,000 sertai Program Senaman Warga Emas
KBS sasar 21,000 sertai Program Senaman Warga Emas
KLANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat membudayakan sukan dan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas menerusi Program Senaman Warga Emas.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata program berkenaan adalah inisiatif KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) susulan dapatan daripada Sesi Perbincangan Meja Bulat berkaitan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas yang diadakan pada 8 Februari lalu.
"Program rintis yang bermula pada Mei lalu akan membabitkan menerusi dua fasa dan dilaksanakan di 120 lokasi di seluruh negara dengan sasaran 21,000 penyertaan warga emas.
"Terdapat enam siri aktiviti kecergasan dijalankan secara percuma antaranya, senamrobik, chair robic, berjalan kaki serta taici.
"Menerusi program ini, KBS berhasrat untuk membudayakan sukan dan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat khususnya warga emas berusia 60 tahun dan ke atas," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Senaman Warga Emas di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, warga emas khususnya pesara akan mempunyai banyak masa lapang justeru mereka diseru untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan menerusi program berkenaan.
"Sebelum ini kita wartakan 103 jenis dan sekarang kita bekerjasama dengan Persatuan Sukan untuk membawa serta memperkenalkan sukan baru kepada warga emas. Sudah pasti ada sukan yang menarik minat mereka," katanya.
Mengulas lanjut, Hannah berkata selain Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), KBS juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha membawa aktiviti sukan ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
"Sebelum ini, PAWE membuat aktiviti untuk mengisi masa lapang tetapi sekarang, kita nak buat program sukan mengisi masa lapang," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan program senaman berkenaan diserap oleh kerajaan menggunakan peruntukan sedia ada dan warga emas hanya perlu keluar untuk bersenam.
"Saya harap semua akan keluar dan menggunakan manfaat ini kerana apabila senaman menjadi budaya sukan, kerajaan tidak perlu mengeluarkan banyak dalam rawatan untuk warga emas," katanya.
Sumber : Berita Harian
Pautan : https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2024/06/1261851/kbs-sasar-21000-sertai-program-senaman-warga-emas