- Home
- Berita Terkini
- Insentif khas RM40,000 untuk pemenang pingat emas WSC di Lyon
Insentif khas RM40,000 untuk pemenang pingat emas WSC di Lyon
CYBERJAYA: Kerajaan menawarkan insentif khas RM40,000 kepada wakil negara yang merangkul pingat emas dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) di Lyon, Perancis September ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata ganjaran wang tunai itu sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan yang cemerlang di pertandingan terbabit.
"Kerajaan juga bersetuju menawarkan ganjaran RM20,000 kepada pemenang pingat perak dan RM10,000 bagi pingat gangsa.
"Peserta negara yang mencapai 'Medallion for Excellence' pula akan menerima insentif wang tunai sebanyak RM4,000," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran 'Road to Lyon 2024' di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sim berkata, peserta yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan memungut pingat emas, perak dan gangsa akan turut dianugerahkan pengiktirafan persijilan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang kemahiran masing-masing.
Sehubungan itu, beliau berharap peserta negara dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada pertandingan terbabit.
"Sepertimana kita semua sedia maklum, penyertaan kontinjen negara ke WSC ini dikelolakan oleh dua kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) di mana sembilan bidang kemahiran diuruskan oleh KESUMA, manakala lima bidang kemahiran yang berkaitan industri pembinaan diuruskan oleh KKR.
"Kedua-dua kementerian ini memperlihatkan suatu sinergi yang cukup hebat serta berganding bahu dalam membuat persediaan dan menguruskan penyertaan pasukan Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa," katanya.
WSC akan berlangsung di Lyon pada 7 hingga 16 September ini.
Pada pertandingan itu, Malaysia akan diwakili 15 belia berkemahiran, terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara.
Mereka akan bertanding dalam 14 bidang kemahiran daripada 62 keseluruhan bidang yang dipertandingkan.
Sumber : Berita Harian
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1264543/insentif-khas-rm40000-untuk-pemenang-pingat-emas-wsc-di-lyon