- Home
- Berita Terkini
- Discover PETRONAS @Schools tingkat minat pelajar dalam STEM
Discover PETRONAS @Schools tingkat minat pelajar dalam STEM
Ranau: Sejajar komitmen untuk menyemarakkan lagi minat pelajar sekolah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), PETRONAS meneruskan program Discover PETRONAS @Schools, kali ini bertempat di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Ranau, Sabah.
Seramai 420 pelajar Tingkatan Empat dan Lima daripada aliran STEM serta 39 guru dari sembilan sekolah di sekitar Ranau didedahkan dengan pelbagai peluang kerjaya dalam sektor minyak, gas dan tenaga serta inisiatif penajaan pendidikan daripada PETRONAS.
Program sehari yang diadakan pada 12 Jun lalu itu dipenuhi dengan pelbagai pengisian bermanfaat untuk pelajar, antaranya forum kerjaya, reruai interaktif dengan kerjasama Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Petrosains dan entiti perniagaan PETRONAS serta pengalaman pembelajaran secara langsung yang dikendalikan penuh dedikasi oleh kakitangan PETRONAS.
Program diserikan dengan kehadiran Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang turut menyaksikan penyerahan Obor Ulang Tahun ke-50 PETRONAS.
Hadir sama, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Bacho Pilong; Naib Presiden Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin dan Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan MARA Sabah, Yassin Ajum.
Dalam ucapannya, Masidi merakamkan penghargaan kepada PETRONAS yang tidak putus-putus berusaha membantu anak bangsa, termasuk di kawasan pedalaman untuk cemerlang dalam pendidikan, terutamanya dalam bidang STEM.
"Penganjuran Discover PETRONAS @Schools di MRSM Ranau ini amat besar dan bererti buat kami. Program ini menjadi platform kepada pelajar di daerah ini untuk meneroka pelbagai peluang yang ditawarkan subjek STEM," katanya.
Komitmen PETRONAS
Sementara itu, Ruslan menekankan komitmen PETRONAS untuk memastikan inisiatif pendidikan yang dilaksanakan syarikat itu di seluruh pelosok Sabah memberi manfaat kepada seramai mungkin anak-anak di Negeri Bawah Bayu itu.
Beliau berkata, pada tahun lalu saja, PETRONAS menjalankan pelbagai program pendidikan dan pembangunan modal insan, membabitkan penyertaan lebih 136,100 pelajar di Sabah.
"Kami mahu melihat generasi profesional berkemahiran tinggi terus muncul dari Sabah, bersedia menyumbang kepada perkembangan industri dan sosio-ekonomi yang lebih luas.
"PETRONAS yakin belia Sabah akan menyahut cabaran dan terus mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik," katanya .
Pada majlis berkenaan, turut diadakan Upacara Penyerahan Obor Ulang Tahun Ke-50 PETRONAS, sebagai simbolik pembudayaan ilmu dan inovasi merentas generasi.
Obor berkenaan adalah satu daripada dua obor Journey of the Twin Torches yang dibawa menjelajah secara berasingan ke pelbagai lokasi dan acara yang signifikan dalam legasi PETRONAS.
Pemilihan lokasi program di MRSM Ranau yang dibangunkan PETRONAS dengan kos RM132 juta, hasil kerjasama kerajaan Sabah dan MARA menyerlahkan lagi komitmen syarikat untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi anak negeri itu dan memupuk minat dalam bidang STEM.
Bagi pelajar yang berpeluang menyertai Discover PETRONAS @Schools di MRSM Ranau, mereka menyifatkan program itu mencambah lagi pengetahuan dan minat mereka dalam STEM, termasuk keperluan untuk lulus cemerlang dalam subjek tertentu sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Selain penerangan mengenai tawaran tajaan pendidikan dan peluang melanjutkan pengajian di UTP, perkongsian pengalaman daripada alumni penerima tajaan pendidikan PETRONAS, yang kini menjawat jawatan penting di syarikat juga membuka mata pelajar mengenai masa depan yang cerah menanti di hadapan mereka dalam sektor minyak, gas dan tenaga.
Pendedahan mengenai peluang kerjaya di PETRONAS membakar semangat mereka untuk mencapai cita-cita, terutama bagi yang datang daripada latar belakang kurang berkemampuan dan nekad mahu mengubah nasib keluarga.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bundu Tuhan, Daryll Arthur James, berkata program berkenaan menyemarakkan lagi impiannya untuk bergelar jurutera satu hari nanti.
"Sebelum ini, saya kurang pengetahuan mengenai subjek yang saya perlu lulus untuk mencapai cita-cita saya tetapi melalui program ini, saya kini tahu apa fokus saya dan laluan kerjaya yang akan saya pilih," katanya.
Bagi Ivy Ivona Ignatius dari SMK Lohan, program berkenaan yang sangat interaktif dan menyeronokkan, dapat menyemarakkan minat yang lebih mendalam dalam bidang STEM, seterusnya membantu beliau ke arah kerjaya yang diidamkan.
"Saya bukan datang daripada keluarga yang senang dan saya mahu menjadikan pendidikan sebagai peluang untuk saya mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik," katanya.
Pengalaman sama turut dikongsikan pelajar MRSM Ranau, Fatin Natasyah, yang mengakui minatnya dalam bidang STEM semakin meningkat dan berharap PETRONAS meneruskan program itu dengan membabitkan pelajar Tingkatan Tiga dan ke bawah bagi memupuk minat mereka lebih awal.
"Saya dan rakan-rakan sangat teruja dan program paling saya sukai adalah sesi interaktif yang membolehkan kami bertanya apa jua soalan mengenai STEM dan kerjaya di PETRONAS, selain mengunjungi setiap reruai yang memberi banyak pengetahuan baru kepada kami," katanya.
Nur Najlatul Solehah Sahirun dari SMK Agama Mohamad Ali, yang juga pelajar tajaan PETRONAS, berkata banyak ilmu baharu yang diperoleh beliau, yang mendorong lagi semangatnya untuk menjadi jurutera kimia, terutama di PETRONAS.
"Saya harap program ini akan dibuat secara tahunan dan di tempat lain juga supaya lebih ramai pelajar memperoleh pengetahuan serta berpeluang merasai keseronokan sepanjang menghadiri program ini," katanya.
Pengalaman bermanfaat di Discover PETRONAS @Schools bukan hanya dirasai pelajar, malah guru yang terbabit turut berkongsi perasaan sama, yang membekalkan mereka maklumat baharu, terutama dalam memupuk dan meningkatkan minat pelajar mereka terhadap STEM.
Bagi Guru Matematik SMK Lohan, Annie Aban yang juga Duta Guru Kohort Dua di bawah Yayasan PETRONAS, program itu memberi galakan kepada pelajar dalam bidang STEM yang semakin menurun ketika ini.
"Melalui perkongsian pengalaman daripada warga PETRONAS dan aktiviti dijalankan, pelajar akan lebih yakin untuk memasuki bidang STEM kerana peluang kerjaya yang tersedia terlalu banyak, selain tawaran penajaan pendidikan untuk belajar di dalam atau luar negara," katanya.
Guru Kaunselor, Hirdhanie Jamal dari SMK Ranau berkata, program itu bukan saja memberi pendedahan kepada pelajar, malah menjadi sumber untuk beliau menyampaikan maklumat dan pengajaran dengan lebih menarik bagi menanam minat lebih ramai pelajar dalam bidang STEM, selain membimbing mereka dalam pemilihan bidang pengajian di IPT kelak.
Guru Matematik dari SMK Kundasang, Haidis Samin berharap lebih banyak badan korporat tampil membantu sekolah dan membimbing guru untuk menarik minat pelajar dalam bidang STEM, seperti dilaksanakan PETRONAS.
"Terima kasih PETRONAS kerana terus memberikan bakti kepada anak bangsa bagi mencapai impian mereka," katanya.
Sejak 2014, program Discover PETRONAS @Schools memanfaatkan lebih daripada 27,000 pelajar dari seluruh negara.
Ulang Tahun PETRONAS Ke-50 bukan sahaja untuk meraikan pencapaian masa lalu, malah mengukuhkan lagi komitmen dan dedikasi dalam memperkasakan ilmu, sejajar temanya bersama menyambung warisan demi masa depan.
Sumber : Berita Harian
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1264632/discover-petronas-schools-tingkat-minat-pelajar-dalam-stem