kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Institusi penyelidikan perlu kerjasama dengan universiti, sektor swasta terokai bidang baharu - PM

MARANG, 10 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa institusi penyelidikan negara atau negeri supaya bekerjasama dengan universiti dan sektor swasta bagi meneroka serta memperkembangkan bidang baharu yang dapat dimanfaatkan rakyat.

Anwar berkata kerjasama itu penting kerana Malaysia masih jauh ketinggalan dalam bidang penyelidikan berbanding negara lain seperti Brazil, India, China, Turkiye dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang lebih maju dan memberi tumpuan dalam bidang baharu.

Memberi contoh Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence di Abu Dhabi, UAE, Anwar berkata universiti berkenaan telah memfokuskan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Jadi kita mengambil pendekatan menyegerakan pelaksanaan Fakulti Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia dan rangkaiannya dengan semua universiti yang mempunyai AI.

“Itu sebagai contoh bagaimana harus ada usaha untuk menyegerakan penerokaan bidang baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark di Cypark Solar Merchang, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Loji Janakuasa Solar Hibrid Merchang (LSS3) merupakan loji janakuasa solar hibrid terbesar di Malaysia, terdiri daripada 35MW solar terapung di permukaan air dan 65MW solar dipasang di darat.

Projek yang dilaksanakan Cypark Resources Bhd (Cypark) itu dibangunkan mengikut kesesuaian persekitaran semula jadi Terengganu yang terdedah kepada banjir.

Dalam pada itu, Anwar berkata bidang penyelidikan di negara ini juga perlu memastikan pelajar di dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut dilatih dengan bidang baharu seperti tenaga solar.

“Oleh itu kalau ada (institusi) TVET umpamanya di Merchang atau Marang atau yang berdekatan, saya syorkan harus ada kepakaran daripada Cypark untuk membantu melatih rakan-rakan TVET di Merchang (atau kawasan sekitar).

“Jadi itu keputusan yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu ini iaitu melihat apa institusi latihan yang ada dan kalau boleh kita putuskan jurutera atau kepakaran dalam bidang tenaga suria Cypark (datang) dua minggu sekali atau seminggu sekali atau mengambil alih satu kelas dan anak-anak yang dilatih akan dijamin untuk terus bekerja dengan Cypark,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Cypark diarahkan memberi laporan ringkas mengenai perancangan syarikat tersebut untuk memastikan anak-anak muda di Terengganu mendapat latihan istimewa dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Katanya laporan tersebut perlu diserahkan Fadillah dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji usaha Cypark dalam memajukan industri tenaga boleh diperbaharui khususnya tenaga solar di negara ini yang membawa manfaat dan kebaikan kepada rakyat.

Sumber : BERNAMA
Pautan : https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2316009

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.