- Home
- Berita Terkini
- Palu 'ular siber' demi selamatkan rakyat
Palu 'ular siber' demi selamatkan rakyat
PENIPUAN atau scam, buli siber dan pornografi termasuk pedofilia ibarat ular berbisa dalam dunia media sosial bukan hanya menyebabkan kehilangan wang ringgit, bahkan mengancam keselamatan rakyat. Masakan tidak, kerugian mangsa scammer mencecah RM1.2 bilion pada tahun lalu sahaja, manakala tiga daripada 10 belia di negara ini menjadi mangsa buli siber, malah kes terkini berakhir dengan kematian pempengaruh, Esha.
Jenayah seksual terutama terhadap anak kecil dan remaja semakin menakutkan masyarakat terutama ibu bapa, apatah lagi dengan fakta penemuan lebih 100,000 penjejakan identiti alamat Internet Protokol (IP) berpangkalan di negara ini melayari laman web lucah terutama web menyediakan bahan pornografi kanak-kanak.
Bagaimanapun, ibarat pepatah 'seperti memalu ular dalam benih: ular biar mati, benih jangan rosak', tindakan bijaksana diperlukan kerana kita pastinya tidak mahu sebarang langkah diambil untuk menghapuskan anasir itu menyebabkan benih baik diperlukan dalam teknologi berkenaan turut terjejas. Pastinya bagi Kerajaan Perpaduan didokongi Pakatan Harapan (PH) selama ini sinonim dengan hak asasi dan kebebasan bersuara tidak mahu sebarang penyelesaian mengorbankan elemen kritikal terutama dalam reformasi institusi.
Pada masa sama, kita mendapati tindakan diambil platform media sosial jauh daripada memuaskan hati terutama pematuhan undang-undang Malaysia dengan aplikasi X paling rendah direkodkan, iaitu 25 peratus. Fakta didedahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil itu, turut menyenaraikan kadar kepatuhan aplikasi Facebook ialah 85 peratus; Instagram (88 peratus); WhatsApp (79 peratus); TikTok (76 peratus) dan Telegram (73 peratus).
Soalnya, apakah tindakan kita untuk menangani tiga jenayah rakus dan keji ini? Dalam hal ini, kita harus memberikan kredit kepada kerajaan memberikan tumpuan kepada langkah meningkatkan dialog dan kerjasama dengan platform media sosial melalui pertemuan dengan hampir semua platform terbabit di Singapura tetapi syarikat berkenaan mesti diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak hanya mementingkan keuntungan hingga bersikap lepas tangan dalam soal pematuhan undang-undang.
Bagaimanapun dialog sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kerajaan perlu bertegas dengan mengeluarkan amaran dan menggantung sementara akses platform yang berdegil dalam pematuhan undang-undang terutama membabitkan ketiga-tiga jenayah keji terbabit. Dalam hal ini, kita meminta kerajaan merangka akta baharu untuk menjadikan dunia digital lebih selamat seperti dilakukan Singapura dengan Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) berkuat kuasa 1 Februari lalu, sekali gus memberi kuasa lebih luas kepada kerajaan menangani kegiatan dalam talian bersifat jenayah dengan lebih berkesan.
Harus diingat 'pencegahan lebih baik daripada rawatan' sangat penting dalam menangani ketiga-tiga jenayah ini, justeru pendidikan awam dan kempen kesedaran mengenai keselamatan dalam talian perlu dipertingkatkan hingga setiap lapisan masyarakat daripada murid prasekolah hingga pesara berupaya melindungi diri sendiri. Dengan pendekatan holistik dan inklusif serta kerjasama platform media sosial sendiri dan penguatkuasaan undang-undang dan mekanisme celik siber, kita yakin ketiga-tiga 'ular' itu dapat dipalu demi menyelamatkan rakyat daripada menjadi mangsa jenayah menerusi media sosial.
Sumber : Berita Harian
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1275897/palu-ular-siber-demi-selamatkan-rakyat