kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Pempengaruh perlu celik undang-undang, jaga adab dalam karya

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan pencipta kandungan atau pempengaruh media sosial supaya membuat pendaftaran dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk menjaga adab dan tatasusila dalam berkarya.

Fahmi berkata, ini berikutan pempengaruh boleh menjana pendapatan daripada setiap kandungan dihasilkan, selain menasihati individu dalam bidang berkenaan dapat mematuhi undang-undang sedia ada.

"Sampai satu tahap, kita lihat ini sudah menjadi satu bisnes, jangan lupa untuk daftar perniagaan dan bayar cukai, itu yang pertama.

"Saya tahu hari ini pasukan LHDN juga ada dalam TikTok dan mereka juga menonton. Jadi, kita nampak yang sudah jauh ke depan (pempengaruh), jangan lupa untuk mendaftar perniagaan dan daftar dengan LHDN.

"Kedua, daripada isi kandungan kita kena faham semua undang-undang sedia ada supaya tidak melanggarnya.

"Selain itu, saya juga minta prihatin dengan batas-batas adab dan tatasusila.

"Kita di Malaysia pelbagai kaum dan agama. Hidup bersatu padu, harmoni dan aman damai. Jadi, kena sentiasa faham kandungan dihasilkan biarlah perpaduan menjadi kekuatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Youth Content Maker Lab 2.0 di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), di sini, hari ini.

Fahmi turut memberi peringatan kepada pencipta kandungan dan pempengaruh pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sekiranya kandungan dihasilkan menyentuh isu membabitkan agama, kaum dan institusi raja (3R).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum mengenakan apa-apa sekatan sebagaimana dilakukan syarikat perfileman yang perlu mendapatkan sijil penggambaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Kita belum melihat keperluan untuk melesenkan mereka yang menghasilkan kandungan terutama dalam media sosial. Tapi, kita minta pempengaruh celik undang-undang dan ambil sedikit masa cuba fahamkan apakah undang-undang terpakai.

"Sekiranya merasakan perlu, kementerian juga boleh bekerjasama dengan pempengaruh untuk mengadakan kelas literasi undang-undang supaya faham dan tidak tersalah promosi.

"Sebagai contoh, sekiranya hendak mempromosikan ubat-ubatan, kita ada undang-undang mengenainya.

"Mengenai produk kesihatan pun ada undang-undang, jadi ada beberapa perkara perlu difahamkan. Biarlah faham dulu daripada difahamkan kemudian," katanya.

Terdahulu, Fahmi merasmikan majlis penutup program Youth Content Maker Lab 2.0 anjuran IPPTAR dengan kerjasama FINAS dan Pertubuhan Belia Kreatif Malaysia yang bermula kelmarin hingga hari ini.

Program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan dan latihan kepada belia dalam penghasilan kandungan digital berkualiti tinggi di platform media sosial khususnya TikTok.

Youth Content Maker Lab 2.0 disasarkan kepada belia kreatif yang menggunakan TikTok sebagai platform utama, penggiat kandungan yang ingin mengeksplorasi potensi kreatif dan usahawan muda yang bertekad menjana pendapatan melalui TikTok.

Sehubungan itu, Fahmi menekankan bahawa program berkenaan akan menjadi tonggak penting dalam perkembangan belia digital Malaysia dan berharap ia dapat diperluas secara zon untuk manfaat lebih ramai belia di seluruh negara.

Sumber : Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/08/1279267/pempengaruh-perlu-celik-undang-undang-jaga-adab-dalam-karya

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.