- Home
- Berita Terkini
- Kerangka Kawal Selia Internet Langkah Proaktif MCMC Tangani Isu Keselamatan Siber
Kerangka Kawal Selia Internet Langkah Proaktif MCMC Tangani Isu Keselamatan Siber
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Usaha kerajaan memperkenalkan kerangka kawal selia baharu berkaitan Internet menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dianggap proaktif dalam memastikan keselamatan pengguna di platform media sosial, terutamanya golongan kanak-kanak.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata ketiadaan kawal selia seperti itu boleh menyebabkan berlakunya peningkatan salah laku di alam maya, terutama dalam media sosial memandangkan rakyat Malaysia meluangkan banyak masa di wadah itu.
“Apabila kita habiskan banyak waktu dalam sesuatu perkara (seperti melayari Internet) dan pada masa sama tidak ada kawal selia yang baik, maka tidak pelik bila ada unsur-unsur salah laku terlalu banyak dalam platform berkenaan.
“ … ditambah pula dengan elemen kewangan, maka ia ’menjemput’ penjenayah-penjenayah siber ini untuk menjerut mangsa dalam platform berkenaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.
Bagaimanapun, Siraj mencadangkan agar kerangka kawal selia itu bersifat menyeluruh dengan mengambil kira langkah memperkenalkan pendidikan literasi media dan digital kepada kanak-kanak serta ibu bapa di samping memperkasakan peranan Kementerian Pendidikan (KPM) serta badan-badan agama.
“Selain itu, kerangka ini juga menyebut soal mengekang isu jenayah siber, maka hal ini sudah jelas di bawah tanggungjawab polis. Kalau boleh, kerangka ini juga (dicadang) mengarah kepada satu usaha membentuk Jabatan Siasatan Jenayah Siber di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ia satu langkah yang akan memudahkan dan membantu rakyat sekiranya mereka terdedah atau terperangkap menjadi mangsa jenayah siber. Hal ini kerana ketika ini, kalau seseorang itu menjadi mangsa jenayah siber baik penipuan atau buli, seolah-olah tidak ada satu laluan (penyelesaian) yang jitu,” katanya.
Senada dengan Siraj ialah penganalisis politik dan media sosial dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Saraswathy Chinnasamy yang menekankan kepentingan pendidikan literasi media dan digital kepada ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah.
Beliau berkata hal ini kerana peranan ibu bapa amat penting dalam memupuk literasi digital kepada anak-anak, termasuk topik penting seperti persetujuan antara dua pihak sebelum berkongsi maklumat, privasi dan memahami perbezaan antara perkara yang betul atau salah dalam talian.
Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya pendidikan literasi digital diperkenalkan dalam sukatan mata pelajaran memandangkan sekolah dapat memainkan peranan mendidik anak-anak tentang cara menggunakan media sosial dan Internet dengan lebih baik dan beretika.
“Ibu bapa perlu sekurang-kurangnya mempunyai kemahiran digital asas seperti kecekapan menggunakan telefon pintar. Malah, kepentingan mendidik anak-anak tentang literasi digital daripada usia muda, bukan hanya dimulakan di sekolah tetapi juga di rumah sendiri.
“Penekanan perlu diberikan kepada ibu bapa mengenai kepentingan memupuk hubungan positif dengan anak-anak. Daripada menolak keterujaan anak-anak mengenai platform baharu, ibu bapa juga boleh bersama-sama menerokai aplikasi berkenaan.
“Pendekatan seperti ini mampu mencipta pengalaman yang bernilai untuk anak-anak, di samping memupuk komunikasi terbuka antara ahli keluarga. Paling penting, ibu bapa juga seharusnya menjadi teladan dengan mengurangkan masa penggunaan (media sosial) mereka sendiri di hadapan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Prof Madya Dr Aznul Qalid Md Sabri daripada Jabatan Kepintaran Buatan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM) berkata kerangka kawal selia baharu itu ialah langkah pertama dalam mencegah sebarang isu atau perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Beliau berkata berdasarkan kerangka itu, ia dapat memastikan platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet mematuhi piawaian dan garis panduan yang dapat membantu dalam mengekang isu buli siber, jenayah dalam talian dan sebagainya.
“Namun, perlu ada pendedahan kepada khalayak umum kaedah MCMC untuk memastikan kerangka kawal selia itu benar-benar dipatuhi oleh platform medial sosial dan perkhidmatan pesanan internet. Terdapat juga keperluan untuk dikongsikan mengenai kaedah pemantauan yang akan dilakukan,” katanya.
Bermula 1 Ogos lepas, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon lesen ASP (C) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Langkah itu akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
Sumber: Bernama