kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Langkah perluas kelayakan sijil kemahiran dalam perkhidmatan awam martabatkan TVET

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memperluas kelayakan pelbagai jenis pensijilan latihan kemahiran dalam perkhidmatan awam membuktikan kesungguhan serta langkah terpuji sebagai usaha memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan, berkata melalui langkah itu, ia juga menyerlahkan kepentingan mempertimbangkan pensijilan latihan kemahiran seperti Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dalam perkara berkaitan dengan gaji yang adil dan penarafan petugas.

"Dalam pasaran kerja yang dinamik hari ini, individu sentiasa mencari cara untuk meningkatkan kemahiran dan kelayakan mereka untuk kekal berdaya saing.

"Pensijilan latihan kemahiran yang dikeluarkan kerajaan memainkan peranan penting dalam melengkapkan individu dengan pengetahuan dan kepakaran diperlukan untuk cemerlang dalam bidang masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat mengumumkan kelayakan SVM diperluas dalam syarat lantikan bagi 26 skim perkhidmatan berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selaras dengan keprihatinan kerajaan berhubung peluang kerjaya lepasan TVET.

Anwar berkata, ia sebagai tambahan kepada 18 skim perkhidmatan sedia ada, manakala kelayakan DKM dan DLKM diperluas dalam syarat lantikan bagi 11 skim perkhidmatan berkelayakan Diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sebagai tambahan kepada dua skim perkhidmatan sedia ada.

Mengulas lanjut, Mohammad Rizan berkata pengiktirafan pensijilan kemahiran itu dalam perkhidmatan awam mahupun swasta, adalah sama penting untuk memastikan individu diberi ganjaran dan dihargai dengan sewajarnya atas usaha mereka.

"Dengan mengiktiraf pensijilan latihan kemahiran yang dikeluarkan kerajaan, majikan boleh menilai dengan lebih baik nilai yang dibawa oleh individu kepada organisasi mereka. Hal ini seterusnya menyebabkan pekerja menerima gaji yang berpatutan serta sepadan dengan tahap kemahiran dan kepakaran mereka.

"Imbuhan pendapatan yang adil bukan sahaja mendorong pekerja untuk berprestasi lebih baik, tetapi juga membantu menarik dan mengekalkan bakat terbaik dalam industri," katanya.

Mohammad Rizan berkata mengiktiraf pensijilan kemahiran adalah penting dalam menentukan penarafan petugas dalam organisasi sekali gus boleh membawa kepada lebih banyak peluang untuk kemajuan kerjaya dan pertumbuhan profesional bagi individu yang telah melaburkan masa dan usaha dalam memperoleh pensijilan itu.

"Pengiktirafan bukan sahaja memberi manfaat kepada individu yang telah memperoleh pensijilan ini, tetapi juga menyumbang kepada tenaga kerja yang lebih mahir dan bermotivasi secara keseluruhan.

"Dengan menghargai dan memberi ganjaran kepada pekerja dengan kelayakan yang betul, organisasi boleh memupuk budaya pembelajaran dan pembangunan berterusan yang bermanfaat untuk semua orang yang terlibat," katanya.

Turut menyambut baik langkah itu ialah Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Sattar Rasul, yang berpandangan ia peluang tambahan kepada lulusan sijil berkemahiran untuk menceburi perkhidmatan awam.

Sementara itu, suri rumah Nor Rohana Ghazali, 50, berkata sebagai ibu yang mempunyai seorang anak lelaki berkelulusan SVM, beliau amat gembira dengan langkah memperluas kelayakan sijil berkenaan kerana ia dapat membuka lebih banyak peluang kepada anaknya untuk menyertai perkhidmatan awam.

"Semua tahu bahawa pekerjaan dalam perkhidmatan awam ini lebih menjamin masa depan. Antara lain, ia satu keperluan tanggungjawab yang baik oleh kerajaan dalam membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran," katanya.

Sumber: Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1286903/langkah-perluas-kelayakan-sijil-kemahiran-dalam-perkhidmatan-awam

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.