kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Buka minda pelajar sertai TVET dan STEM

MELAKA: Program Discover PETRONAS @School anjuran PETRONAS bukan sahaja mendapat sambutan baik malah membuka peluang dan menyuntik minat pelajar sekolah di Melaka untuk meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan STEM (Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik) serta peluang pekerjaaan berkaitan industri tenaga.

Inisiatif ini selari dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan dalam mencapai matlamat Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.

Inisiatif ini juga selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) yang menekankan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan.

Berlangsung selama sehari di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar pada 10 Julai lalu, seramai 150 pelajar Tingkatan 4 dan 5 aliran TVET daripada 10 sekolah di Melaka terpilih menyertai program yang dirancang khusus oleh Jabatan Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan, PETRONAS.

Program dirasmikan oleh Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Mohd Zaki Mahat dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Jamsari Mariman; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Selatan, Mohammad Musa Ahmad, Pengarah ILP Selandar, Ts. Rostam Hashim dan Pengurus Kanan, Pengurusan Hubungan & Kerjasama Strategi Pendidikan, Jabatan Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan PETRONAS, Liana Haris.

Dalam ucapannya, Mohd Zaki berkata, PETRONAS sentiasa komited untuk membantu pelajar untuk terus cemerlang dalam pendidikan, terutamanya dalam bidang STEM dan TVET.

Tegas beliau, komitmen itu dizahirkan melalui penganjuran program berfokuskan pendidikan seperti Program Duta Guru, Melaka Future Talent, SPM Motivational Camp dan terkini program Discover PETRONAS @Schools (DPS).

"Hasrat kami bukan sahaja membimbing, tetapi juga membantu kalangan pelajar untuk merancang hala tuju dan cita-cita selepas menamatkan persekolahan serta menyokong pembangunan anak-anak yang bakal menjadi generasi pemimpin negara pada masa depan," katanya sambil memaklumkan lebih 27,000 pelajar menengah atas mendapat manfaat daripada program DPS sejak tahun 2014 hingga tahun lalu.

Perkongsian Pendidikan dan Kerjaya

Aktiviti sokongan turut disediakan bagi meningkatkan lagi pengetahuan para pelajar yang hadir seperti penerangan inisiatif Penajaan Pendidikan PETRONAS, perkongsian tentang kursus ditawarkan oleh Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) dan JPK serta pameran Pendidikan oleh pelbagai pihak berkaitan seperti Akademi Laut Malaysia (ALAM), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Petrosains, Politeknik Malaysia, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giatmara dan Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang (ILPG).

Mohd Zaki berkata, JPK Wilayah Selatan turut menjadi rakan strategik dengan menganjurkan Program Teroka Potensi Kemahiran Dalam Kerjaya dan Kejayaan Melalui TVET 2024 untuk 100 guru kaunselor dari sekolah terpilih di Melaka.

"Menerusi program ini, guru kaunselor diberi pendedahan berkaitan peluang kerjaya dan latihan berkaitan TVET selepas SPM untuk disampaikan kepada pelajar di sekolah masing-masing," katanya.

Penerapan Pembelajaran Secara Praktikal

Tidak hanya didedahkan dengan peluang kerjaya serta inisiatif penajaan pendidikan, pelajar juga terbabit  dengan pelbagai aktiviti interaktif yang mengasah kemahiran mereka dalam berfikir dan menyelesaikan masalah.

Menurut Mohd Zaki, antara aktiviti berasaskan TVET yang diketengahkan dalam program DPS ini termasuk 'nerdy derby', 'mini drone', 'gas detector', 'solder badge' dan 'cube circuit' yang dipimpin Petrosains. Melalui aktiviti ini pelajar didedahkan kepada kemahiran teknikal yang diperlukan dalam sektor tenaga.

"Sukarelawan kami yang terdiri daripada pakar teknikal, pakar teknologi maklumat daripada Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) dan PETRONAS Gas Berhad turut memberi tunjuk ajar dan panduan kepada pelajar berkaitan kerjaya di dalam bidang ini.

"Sebagai fasilitator program, mereka turut memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk terus berkecimpung dalam mata pelajaran TVET pada usia muda," katanya.

Memupuk Minat Murid dan Guru

Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemu bual teruja kerana dapat menyertai program yang dapat membuka mata mereka kepada pelbagai aspek menarik dalam industri tenaga.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, Putri Batrisya Abdul Rahim berkata, menerusi informasi dan aktiviti di setiap reruai pameran serta perkongsian pengalaman oleh sukarelawan PETRONAS, pelajar didedahkan dengan pelbagai berkaitan kecanggihan teknologi bagi peralatan dalam industri tenaga.

"Banyak ilmu baharu yang saya dapat melalui program ini, misalnya berkenaan kehidupan pekerja 'offshore' di pelantar minyak yang terletak jauh di tengah lautan dan peralatan yang mereka gunakan dalam industri ini.

"Saya juga teruja apabila dapat melihat dan mencuba teknologi Augmented Reality (realiti terimbuh) dan Virtual Reality (realiti maya) yang sangat maju dan terkini," katanya.

Menurutnya, kaedah penyampaian secara santai dan interaktif sangat memudahkan mereka untuk memahami dan menarik minat para pelajar yang mendengar.

"Sedikit sebanyak, minda saya lebih terbuka bahawa di PETRONAS terdapat banyak cabang kerja dan kemahiran termasuk berkaitan bidang perundangan yang juga impian saya suatu hari nanti," katanya yang turut berharap PETRONAS terus berkembang pesat dan membuka lebih banyak peluang kerja kepada rakyat Malaysia.

Rakannya, Mittrevin Supramani turut senada mengenai kebaikan program ini yang menyediakan banyak reruai pameran yang berinformasi.

"Saya suka dengan reruai JPK kerana mereka menyediakan informasi berkaitan teknologi robotik dan berpeluang untuk turut serta dalam aktiviti yang disediakan. Selain itu, aktiviti praktikal yang disediakan oleh Petrosains seperti 'nerdy derby' juga sangat menarik kerana menguji pemikiran dan penyelesaian cabaran secara kreatif melalui percubaan dalam membina serta ujian berulang yang meneroka konsep tenaga.

"Sebelum ini saya masih samar tentang impian saya, tapi selepas mengikuti program ini saya bercita-cita untuk jadi jurutera PETRONAS kerana persekitaran kerja serta menawarkan insentif yang menarik," katanya.

Bagi Eng Zhun Hau dari SMK Dang Anum, peluang menyertai program DPS buat pertama kali amat mengujakan.

"Program ini sangat bermanfaat, banyak reruai pameran disediakan dan kami diberi penerangan berkaitan peluang kerjaya dan pendidikan dalam bidang kemahiran atau TVET.

"Dulu saya ingat PETRONAS hanya berkait industri minyak sahaja, tapi sebenarnya pelbagai lagi. Malah, saya kini tahu perbezaan antara minyak petrol RON95 dan RON97 hasil dari penerangan yang diberikan," katanya.

Dalam perkembangan sama, guru kaunselor yang terbabit turut memuji program DPS serta Program Teroka Potensi Kemahiran Dalam Kerjaya dan Kejayaan Melalui TVET 2024 yang memberi maklumat baharu terutama dalam meningkatkan minat pelajar mereka terhadap STEM dan TVET.

Guru Kaunselor, M Amutha dari SMK Bukit Baru berkata, sekolah mengadakan pentaksiran psikometrik berkaitan personaliti pelajar yang memberikan pendedahan tentang kerjaya yang sesuai dengan personaliti mereka supaya dapat melihat kecenderungan dari segi akademik atau kemahiran.

"Bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5, menerusi  program DPS, para pendidik seperti saya dapat memberi pendedahan awal berkenaan TVET," katanya.

Menurutnya, bagi memberi nilai tambah kepada program selepas ini, pihaknya mencadangkan bengkel tertentu diadakan selari dengan maklumat yang diberikan untuk menambahkan lagi pengalaman praktikal kepada pelajar.

Guru Kaunselor dari SMK Mushi Abdullah, Salinah Ahmad pula berkata, program itu amat bermakna untuk guru memperkenalkan bidang TVET kepada anak murid mereka.

"Program ini dapat membuka minda anak murid TVET yang terlibat agar tidak hanya melihat kerjaya sebagai jurutera sahaja."

"Ini kerana terdapat banyak bidang lain yang boleh diceburi mengikut kelayakan dan mereka juga berpeluang untuk meningkatkan kerjaya ke tahap profesional," katanya.

Beliau turut menyarankan program itu diperluas kepada semua sekolah menengah di Melaka untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar memahami bidang STEM dan TVET.

Guru Kaunselor dari SMK Selandar, Md Fadli Idrus, juga berpendapat bahawa program ini dapat membuka paradigma, mengembangkan pengetahuan dan yang paling penting, memperbanyak pilihan dalam merancang kerjaya pelajar pada masa depan.

Secara keseluruhannya, program DPS merupakan inisiatif pendidikan holistik yang bertujuan untuk membangkitkan rasa ingin tahu, memupuk inovasi serta bakat dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara dalam bidang sains dan teknologi.

Sejajar dengan tema ulang tahun ke-50 PETRONAS, "Bersama menyambung warisan, demi masa depan," PETRONAS akan terus komited dalam memperkasakan ilmu serta memberikan impak sosial yang positif yang terbaik kepada komuniti secara keseluruhannya.

Sumber: Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1285565/buka-minda-pelajar-sertai-tvet-dan-stem

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.