- Home
- Berita Terkini
- Gaji rendah, hutang bertambah punca belia sukar buat simpanan - KRI
Gaji rendah, hutang bertambah punca belia sukar buat simpanan - KRI
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam laporan terkininya mendedahkan terdapat tiga faktor menyebabkan tahap simpanan bagi golongan muda di Malaysia adalah rendah.
Penyelidik KRI, Shazrul Ariff Suhaimi, berkata pasaran buruh negara secara sejarahnya tidak memihak kepada pekerja kerana purata imbuhan pekerja (CoE) kekal pada tahap yang rendah, iaitu 33.1 peratus pada 2023 berbanding CoE di kawasan Euro iaitu 52.9 peratus pada 2022.
Katanya, berdasarkan laporan Kajian Gaji dan Upah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), gaji median nasional ialah RM2,602, sementara bagi kumpulan umur 25 hingga 29 tahun adalah RM2,076, manakala bagi kumpulan umur 20 hingga 24 tahun hanya RM1,593 pada 2023.
"Hanya apabila seseorang mencapai kumpulan umur 30 hingga 34 tahun (tidak lagi dikategorikan sebagai belia), gaji median menjadi sedikit tinggi daripada median nasional iaitu RM2,702.
"Angka ini menonjolkan gaji tidak berganjak yang dialami terutamanya oleh golongan muda. Gaji bagi kumpulan umur 25 hingga 29 tahun hanya meningkat sedikit daripada RM1,500 pada 2010 kepada RM2,076 pada tahun 2023.
"Ini adalah peningkatan nominal lebih daripada RM40 setahun, dan ia masih belum kembali ke paras sebelum pandemik, iaitu RM2,206 pada 2019," katanya.
Selain struktur gaji rendah, Shazrul berkata, satu lagi faktor utama yang menyebabkan kadar simpanan rendah belia ialah pengumpulan hutang yang timbul dalam bentuk pinjaman pelajar, gadai janji dan trend terkini 'Beli Dulu, Bayar Kemudian' (BNPL).
Katanya, apabila tahap pendapatan rendah, individu mungkin perlu mencari sumber pembiayaan luaran termasuk melanjutkan pelajaran.
"Dalam isu pinjaman pelajar termasuk khususnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sejumlah 51.6 peratus peminjam berpendapatan kurang daripada RM2,000 atau tidak dapat mendapatkan pekerjaan sama sekali selepas menamatkan pengajian mereka.
"Isu ini adalah kebimbangan nasional kerana graduan ini akan menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka. Perkara ini dikenali sebagai 'krisis yang semakin berkembang', di mana 60 peratus peminjam PTPTN tidak secara konsisten membayar balik pinjaman mereka, dengan 18 peratus langsung tidak pernah membuat sebarang pembayaran.
"Banyak negara membangun menghadapi isu yang sama apabila perkembangan pendidikan tinggi dan peningkatan kemasukan pelajar menyebabkan krisis serupa, kerana tidak cukup pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang baik yang diwujudkan untuk menyerap graduan ini," katanya.
Beliau menjelaskan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut melaporkan bahawa terdapat lebih 53,000 individu di bawah umur 30 tahun yang menanggung hutang hampir RM1.9 bilion, dengan 28 peratus terpaksa mengambil pinjaman untuk membeli barang keperluan asas.
"Walaupun memudahkan, tindakan yang meluas ini telah memberikan kesan buruk kepada isi rumah kerana kadar keberhutangan semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.
"Peningkatan penggunaan skim kredit mudah seperti BNPL juga boleh memberikan kesan buruk. Sebagai contoh, ia boleh mengukuhkan tingkah laku negatif kerana pengguna cenderung berbelanja melebihi kemampuan mereka apabila dapat mengambil hutang BNPL daripada pelbagai penyedia," katanya.
Faktor terakhir yang menjejaskan simpanan belia ialah kefahaman atau celik kewangan yang rendah dalam membuat keputusan kewangan yang bijak dan mencapai kesejahteraan kewangan individu.
Shazrul Ariff berkata, kefahaman kewangan adalah penting kerana ia membolehkan individu membuat keputusan yang bijak berdasarkan situasi kewangan semasa mereka, yang akhirnya akan membawa kepada hasil yang lebih baik pada masa depan.
"Dengan meningkatnya jangka hayat purata, adalah penting bagi individu memiliki pengetahuan kewangan sejak usia muda untuk mula membina kekayaan dan simpanan lebih awal.
"Jika seseorang individu mempunyai kefahaman kewangan yang rendah, jumlah kekayaan yang boleh kumpulkan melalui pelaburan dan simpanan adalah terhad, sekali gus meningkatkan pendedahan kepada kejutan tidak dijangka seperti kemerosotan ekonomi dan kehilangan pekerjaan.
"Tinjauan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 2022 menunjukkan 62 peratus belia Malaysia mempunyai tahap kefahaman kewangan yang rendah dan kurang pengetahuan mengenai produk pasaran modal," katanya.
Sumber: Berita Harian