kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

80 peratus kes bunuh diri membabitkan lelaki

Putrajaya: Lebih 80 peratus daripada 5,857 kes bunuh diri yang dilaporkan di negara ini membabitkan golongan lelaki terutama dalam kalangan belia dan bekerja, secara tidak langsung mencerminkan trend yang membimbangkan.

Data berdasarkan angka bagi tempoh 2020 hingga Oktober lalu itu dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Persidangan Meja Bulat Belia Bantuan Awal Menangani Bunuh Diri Belia yang diadakan secara tertutup di sini, hari ini.

Berdasarkan data itu, seramai 1,813 kes membabitkan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Ditemui selepas persidangan terbabit, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata dapatan awal berdasarkan kes yang dikongsikan, menunjukkan majoriti mangsa terdiri daripada golongan lelaki, namun masih banyak kes yang tidak dilaporkan. Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa laporan media yang tidak sensitif berisiko mencetuskan insiden 'copy cat'.

"Kita tak ada angka (yang tepat) kerana banyak kes (cenderung bunuh diri) tidak dilaporkan dan apabila sudah menjadi kes bunuh diri, baru kita dapat data, kebanyakannya mangsa adalah lelaki dan sebab itu kita amat bimbang dengan laporan media kerana ia mendorong kepada berlakunya 'copy cat'.

"Apa yang kita nak adalah pelbagai pihak, keseluruhan ekosistem perlu diadakan latihan kerana pihak yang terjejas bukan sahaja pelajar sekolah tetapi kebanyakannya adalah golongan belia yang bekerja," katanya.

Yeoh berkata, isu stigma kekal menjadi cabaran utama apabila belia yang cuba mendapatkan bantuan sering dilabel termasuk oleh pensyarah, rakan sekerja, guru, malah ahli keluarga.

"Kita mendengar sendiri testimoni bahawa ada belia takut mendapatkan bantuan kerana bimbang masalah mereka dibincangkan dalam bilik guru atau tempat kerja.

"Ada yang diejek dengan istilah seperti 'gila' atau 'perlu makan ubat'. Ini bukan bahan jenaka kerana ia soal hidup dan mati," katanya.

Beliau berkata, stigma yang turut wujud di tempat kerja dan institusi pendidikan menyebabkan ramai belia memilih untuk berdiam diri.

Malah, kebanyakan pemanggil talian bantuan terutama lelaki sering meletakkan telefon berulang kali sebelum berani bercakap, menunjukkan mereka berada dalam keadaan terdesak.

"Kita hantar kaunselor ke sekolah tetapi data menunjukkan ramai yang terjejas adalah anak muda yang bekerja. Sebab itu kita merasakan majikan juga perlu diberi latihan berkaitan isu ini," katanya.

Yeoh berkata, terdapat kes di mana individu menghabiskan masa sehingga setahun mencari bantuan sebelum mendapat rawatan tepat dan ada yang akhirnya menjadi sebahagian daripada statistik kerana tersalah rujuk atau menerima label negatif.

Katanya, selain belia, data turut menunjukkan peningkatan kes membabitkan kanak-kanak dan warga emas dengan Selangor direkodkan sebagai negeri tertinggi kes bunuh diri diikuti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

 

Sumber: Harian Metro (80 peratus kes bunuh diri membabitkan lelaki)

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.