- Home
- Berita Terkini
- Kerja 8–5 makin 'terpinggir'
Kerja 8–5 makin 'terpinggir'
Kuala Lumpur: Semakin ramai belia memilih pekerjaan dengan waktu kerja yang fleksibel, berbanding pekerjaan tradisional dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Kajian menunjukkan lebih 30 peratus tenaga kerja muda terbabit dalam pekerjaan gig seperti e-hailing, penghantar dan pekerja digital bebas, dengan Malaysia kini dikenali antara negara tumpuan utama ekonomi gig di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Operasi My Mobility Vision, sebuah badan penyelidikan dasar yang fokus kepada isu berkaitan pengangkutan, buruh dan ekonomi digital negara, Dr Muhammad Afiq Redzuan berkata, pekerjaan gig menawarkan pendapatan cepat, fleksibiliti masa, tidak memerlukan kelayakan formal dan pelaburan besar berbanding kerjaya profesional atau pendidikan tinggi.
Beliau berkata, kehendak bebas memilih kerja dan menyesuaikan dengan gaya hidup menjadikannya sangat menarik bagi anak muda yang baru memulakan kerjaya.
"Ekonomi gig menawarkan beberapa kelebihan utama yang menarik ramai anak muda antaranya adalah fleksibiliti masa dan lokasi, sesuai dengan gaya hidup kini.
"Tambah pula ekonomi gig menawarkan kebebasan kepada pekerja kerana tidak terikat dengan kontrak tetap atau kelayakan formal dan ia turut membuka peluang keusahawanan dan pembabitan dalam inovasi digital," katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Afiq berkata, ekonomi gig membantu mengurangkan pengangguran, memberi peluang pendapatan kepada rakyat serta menyokong transformasi industri digital negara.
Namun, ia mewujudkan isu struktur seperti ketidakpastian pendapatan, kurang perlindungan sosial dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada majoriti pekerja gig.
Menurutnya, pekerja gig juga berdepan risiko eksploitasi, tiada saluran aduan rasmi dan beban perbelanjaan sendiri untuk insurans, petrol, peralatan serta kenderaan, selain ancaman kesihatan yang mana tiada cuti berbayar atau perlindungan perubatan.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan memberikan tumpuan kepada sektor gig hingga inisiatif dirancang menumpukan golongan itu termasuk dalam pembentangan Belanjawan 2026.
"Kerajaan sudah memperkenalkan i-Saraan KWSP, program perlindungan perkeso dan Rang Undang-Undang Pekerja Gig bagi memberi perlindungan minimum serta hak kepada pekerja gig.
"Namun, kadar liputan masih rendah dan ramai kekal di luar rangkaian keselamatan sosial. Pelaburan dalam infrastruktur digital dan latihan kemahiran juga ditingkatkan untuk menyokong pekerja gig," katanya.
Ditanya mengenai RUU Pekerja Gig 2025 yang diluluskan Dewan Negara pada September lalu, beliau berkata, ia dapat memastikan pekerja gig menerima perlindungan minimum dari segi sosial, insurans dan kebajikan.
Muhammad Afiq berkata, cabaran utama adalah memastikan pelaksanaan yang efektif dan tidak menjejaskan kebebasan serta pendapatan pekerja gig, kejayaannya bergantung kepada pemantauan dan komitmen pihak berkuasa.
Sumber: Harian Metro (Kerja 8–5 makin 'terpinggir')