- Home
- Berita Terkini
- IYRES Bentang Peranan Strategik kepada Menteri Belia dan Sukan
IYRES Bentang Peranan Strategik kepada Menteri Belia dan Sukan
PUTRAJAYA, 12 MAC 2026 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah dijemput oleh Pejabat Menteri Belia dan Sukan untuk membentangkan peranan serta fungsi strategik institut tersebut kepada YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan. Sesi pembentangan telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 17, Menara KBS, Putrajaya.
Pembentangan tersebut disampaikan oleh Puan Shahhanim Yahya, Eksekutif Penyelidik Kanan 1 (EPK1) bersama beberapa pegawai IYRES iaitu Puan Mastura Mohamad (EPK2), Encik Rizal Mohd Sham (EPK5), Encik Shah Romnizam Ramli (EPK10), Encik Muhammad Azamuddin Hashim (EKP) dan Encik Syammil Hakimee Jamaludin (PEKK).
Dalam sesi tersebut, IYRES telah berkongsi pelbagai inisiatif strategik termasuk pelaksanaan penyelidikan pembangunan belia, pengurusan data belia melalui Youth Data Hub, serta penerbitan ilmiah yang menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy).
Hasil pembentangan tersebut, IYRES menerima maklum balas positif daripada YB Menteri, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan IYRES sebagai pusat rujukan penyelidikan pembangunan belia negara. Antaranya termasuk komitmen untuk membantu mempromosikan produk dan inisiatif IYRES seperti IYRES Community Enumerator (ICE) dan Asia Pacific Journal of Youth Studies (APJYS).
Selain itu, YB Menteri turut menyatakan hasrat untuk melibatkan beliau dalam program intelektual anjuran IYRES serta memberikan peranan khusus kepada institut ini dalam memperluas penyebaran hasil penyelidikan kepada peserta projek Teraju Muda yang bakal diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat.
Beliau juga menyarankan agar pegawai di Pejabat Menteri lebih cakna terhadap sistem digital yang telah dibangunkan oleh IYRES seperti Dashboard Belia dan YData, yang berfungsi sebagai platform penting dalam menyokong perancangan serta pemantauan pembangunan belia dan sukan negara.
Sesi ini mencerminkan komitmen berterusan KBS dalam memperkukuh penggunaan data dan penyelidikan sebagai asas dalam merangka dasar serta inisiatif pembangunan belia yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.