- Home
- Berita Terkini
- Kunjungan Hormat dan Sesi Taklimat Kerjasama Strategik bersama Kelantan Future Leaders Institute (KFLI)
Kunjungan Hormat dan Sesi Taklimat Kerjasama Strategik bersama Kelantan Future Leaders Institute (KFLI)

PUTRAJAYA, 11 MEI 2026 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategiknya apabila mengadakan Sesi Taklimat Kerjasama Strategik bersama Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) bagi memperluas pelaksanaan serta hebahan sistem MyProfil dalam kalangan belia, khususnya komuniti belia di Negeri Kelantan.
Sesi yang berlangsung di Ibu Pejabat IYRES ini memberi penekanan kepada pelaksanaan Inisiatif Hub Profil Belia IYRES, iaitu satu usaha bersepadu untuk memperluas capaian MyProfil sebagai platform utama pengumpulan dan pengurusan data belia negara secara lebih sistematik, inklusif dan berimpak tinggi.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem data belia yang lebih komprehensif dan responsif terhadap keperluan sebenar golongan belia, selaras dengan aspirasi pembangunan belia negara.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Puan Mastura Mohamad, Eksekutif Penyelidik 2 IYRES, manakala sesi pembentangan dan penerangan berkaitan sistem MyProfil telah disampaikan oleh Encik Mohd Rizal Mohd Sham, Eksekutif Penyelidik Kanan 5 IYRES daripada Cawangan Pengurusan Data IYRES.
Antara fokus utama kerjasama yang dibincangkan termasuk mempergiat hebahan sistem MyProfil menerusi program-program anjuran KFLI, menggalakkan pendaftaran sebagai IYRES Community Enumerator (ICE) dan sukarelawan MyProfil, serta memperluas jaringan sistem tersebut melalui rangkaian strategik dan komuniti belia di bawah KFLI.
Melalui kolaborasi ini, IYRES komited untuk terus memperkasakan peranan data sebagai asas kepada perancangan dan penggubalan dasar pembangunan belia yang lebih tepat, responsif dan berimpak tinggi. Kerjasama strategik ini juga dijangka dapat meningkatkan kadar penyertaan belia dalam sistem MyProfil, sekali gus memperkukuh suara serta representasi belia dalam lanskap pembangunan negara.