- Home
- Berita Terkini
- IYRES Dan PNBRI Anjur Bersama Persidangan Meja Bulat (RTD) Menoktahkan Kemiskinan; Mencipta Peluang Masa Depan Belia
IYRES Dan PNBRI Anjur Bersama Persidangan Meja Bulat (RTD) Menoktahkan Kemiskinan; Mencipta Peluang Masa Depan Belia

PUTRAJAYA, 12 MEI 2026 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama PNB Research Institute (PNBRI) hari ini menganjurkan Persidangan Meja Bulat (RTD) Menoktahkan Kemiskinan; Mencipta Peluang Masa Depan Belia di Dewan Podium B, Menara KBS, Putrajaya sebagai platform strategik bagi membincangkan isu kemiskinan belia serta usaha memperluas peluang masa depan generasi muda negara.
Program telah dirasmikan oleh YB Tuan Mordi anak Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang turut menyampaikan ucapan aluan berkaitan kepentingan pendekatan menyeluruh dalam menangani cabaran sosioekonomi belia. RTD ini telah menghimpunkan 161 peserta yang terdiri daripada wakil kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, institusi pendidikan, swasta/ syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta persatuan/ badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan solusi dan intervensi yang lebih berkesan dalam memperkasa kesejahteraan belia.
Antara pengisian utama program ialah pembentangan bertajuk Kemiskinan Multidimensi Belia oleh Encik Sherhan Nizam Abdul Aziz, Pengurus Besar Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), serta pembentangan Pengangguran, Gaji Rendah dan Kos Sara Hidup oleh Dr. Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim, Penyelidik PNBRI. Pembentangan ini memberi fokus terhadap cabaran ekonomi semasa yang dihadapi golongan belia dan keperluan dasar yang lebih responsif serta bersasar.
Program turut diteruskan dengan sesi interaksi bersama YB Tuan Mordi anak Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang membuka ruang dialog dan pertukaran pandangan bersama peserta berkaitan cabaran semasa serta langkah memperkukuh kesejahteraan dan peluang ekonomi belia di Malaysia.
Selain itu, sesi forum bertajuk ‘Belia Bangkit Keluar Daripada Kemiskinan’ telah dikendalikan oleh Puan Farhana binti Roslan, Pengarah Penyelidikan PNBRI selaku moderator. Forum ini menampilkan barisan panel terdiri daripada Dr. Nur Fatin Afrina binti Mohd Fakhruddin, doktor perubatan dan penulis buku, Puan Lailatul Sarahjanna binti Mohd Ismail, Pengasas Bersama Ahmad’s Fried Chicken serta Encik Muhammad Izzan Azizi bin Mohd Tarmizi, Pengasas Izzan Natural Enterprise. Perkongsian panel memberi penekanan terhadap pengalaman, cabaran dan strategi memperkasa belia dalam meningkatkan taraf hidup serta keluar daripada kepompong kemiskinan secara mampan.
RTD berakhir dengan pembentangan rumusan resolusi pada jam 12.45 tengah hari oleh Puan Shahhanim Yahya, Eksekutif Penyelidik Kanan 1 IYRES yang merumuskan cadangan, pandangan serta input daripada pembentangan dan forum sepanjang program berlangsung sebagai panduan dalam memperkukuh agenda pembangunan dan kesejahteraan belia negara. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif PNBRI, Dr Serena Che Omar.