- Home
- Berita Terkini
- IYRES Meriahkan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Melalui Pameran Interaktif dan Kajian Belia
IYRES Meriahkan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Melalui Pameran Interaktif dan Kajian Belia

SENDAYAN, 15-17 Mei – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah menyertai pameran sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di D’Tempat dan X Park, Sendayan, Negeri Sembilan bermula 15 hingga 17 Mei 2026 (Jumaat hingga Ahad).
Sebagai Jawatankuasa Data dan Penyertaan HBN 2026, IYRES telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendaftaran pengunjung dan peserta yang hadir sepanjang program berlangsung.
Selain itu, IYRES turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti pelaksanaan Kajian Hari Belia Negara 2026, permainan interaktif serta pameran hasil penyelidikan berkaitan pembangunan belia.
Penyertaan IYRES dalam program ini bukan sahaja bertujuan memperkukuhkan penyampaian maklumat dan data berkaitan belia, malah turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat fungsi dan peranan IYRES sebagai institusi penyelidikan pembangunan belia negara.
Bagi memeriahkan lagi suasana sambutan, pelbagai hadiah menarik turut disediakan kepada para pengunjung yang mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan di reruai IYRES.
Turut hadir mengunjungi reruai pameran IYRES ialah YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai tanda sokongan terhadap penglibatan aktif agensi di bawah KBS dalam menjayakan Sambutan Hari Belia Negara 2026.