- Home
- Berita Terkini
- Kecualikan nama daripada CCRIS, CTOS
Kecualikan nama daripada CCRIS, CTOS

Berita Utusan - 11 Oktober 2012
|
Kecualikan nama daripada CCRIS, CTOS KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan dicadang mengecualikan nama golongan belia daripada disemak oleh Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan agensi rujukan kredit, Credit Tip Of Service Sdn. Bhd. (CTOS) bagi tujuan pembelian rumah. Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, perkara itu bagi memudahkan belia di bawah 40 tahun memiliki Rumah Mampu Milik (RMM) dan Skim Rumah Pertamaku yang ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) meskipun nama disenaraihitamkan oleh institusi kewangan. Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu menetapkan dua syarat utama kepada pemohon iaitu mestilah belum memiliki rumah dan mempunyai pendapatan bulanan yang tetap. ''Kita mendapati ramai golongan muda tidak mampu membeli rumah sendiri kerana kekangan daripada isu nama disenarai hitam yang mungkin hanya kerana lewat pembayaran kad kredit, pinjaman kereta dan pinjaman lain. ''Jika kita mahu terus menunggu nama mereka bersih di kedua-dua agensi kewangan itu, mungkin dalam masa 10 tahun lagi pun kita tidak dapat melihat mereka memiliki rumah sendiri," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini. Idris berkata, pihak institusi kewangan tidak perlu bimbang untuk melaksanakan pendekatan tersebut kerana rumah merupakan harta kekal maka aset berkenaan akan menjadi cagaran kepada pihak bank yang telah memberi khidmat pinjaman bagi pembelian rumah tersebut. Menurut beliau, berdasarkan pemerhatiannya, rata-rata golongan belia yang mengalami masalah nama disenarai hitam terpaksa menyewa rumah pada kadar antara RM500 hingga RM1,500 sebulan. Katanya, daripada mereka mengeluarkan sejumlah wang yang banyak bagi menyewa rumah, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan untuk melayakkan golongan belia memiliki rumah sendiri mengikut keupayaan kewangan bulanan masing-masing. ''Saya berharap pihak yang berkaitan dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan. Tidak ada mana-mana pihak yang rugi dalam perkara itu," katanya.
|