|
MANDAT DAN AMANAT MENTERI BELIA DAN SUKAN KEPADA IPPBM
Oleh : Muhammad Ariff Mat Jusoh (IPPBM) This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
PUTRAJAYA, 25 Januari 2013 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) telah menerima kunjungan YB. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini bertempat di pejabat IPPBM, Menara KBS.
YB. Menteri ketika sesi soal jawab antara pihak pengurusan IPPBM telah menyatakan kemampuan dan pembangunan kapasiti institusi ini yang berpotensi untuk lebih kompetitif dengan kekuatan IPPBM sebagai pusat kajian pengumpulan data dan simpanan maklumat bagi menyokong KBS itu sendiri.
Menurut Dato’ Sri Ahmad Shabery, kekuatan dan kepelbagaian data hasil daripada kajian yang telah dilaksanakan oleh IPPBM seharusnya dijadikan medium bagi mempertajamkan peranan IPPBM menjadi badan paling autoritatif dalam kajian berkenaan belia, katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa IPPBM mampu menyerlah seperti peranan yang dimainkan oleh Institute of Strategic & International Studies (ISIS) Malaysia dari segi sudut ilmu dan standing dengan institusi penyelidikan yang lain seperti Merdeka Centre, Nelson dan peranan yang dimainkan oleh Social Weather Station di Filipina, katanya lagi.
Menurut beliau lagi, IPPBM berperanan penting untuk memberikan khidmat nasihat, rujukan, panduan dalam perkara berkaitan dengan isu serta situasi dan perubahan yang dijangkakan berlaku ke atas sesuatu program seterusnya berkeupayaan melaksanakan kajian dan menganalisis hasil pelaksanaan program tersebut untuk pembangunan belia.
Beliau seterusnya menyatakan beberapa harapan dan jangkaan terhadap IPPBM seperti berikut :
- Melihat hubungan langsung dan berterusan IPPBM dengan Pejabat Menteri bertujuan pembekalan maklumat dan data belia terkini bagi memperkukuhkan kenyataan akhbar dan kandungan ucapan YB. Menteri serta jawapan di Parlimen berkaitan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak yang bertanya.
- IPPBM sebagai pusat kajian yang memfokuskan belia melebarkan lagi tugas dan peranan institut tersebut dengan menjadikan hasil kajian tersebut berpotensi dan menjadi bahan rujukan yang bernilai bagi pihak luar dan media massa. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan lagi imej dan potensi IPPBM untuk terus maju dan memenuhi keperluan menjadi pusat rujukan tersohor masa hadapan.
- IPPBM mempertingkatkan kapasiti melalui pewujudan sumber manusia dan pengkaji dengan kepakaran yang mampu dan membuat analisis yang mantap bagi menghasilkan penerbitan bermutu berasaskan metodologi yang tidak dipertikaikan oleh pihak lain.
- IPPBM memperuntukkan sumber manusia dan pasukan kerja khusus bagi menangani pengurusan data agar sentisa dikemaskini dari semasa ke semasa.
- Melalui dapatan hasil kajian hendaklah didokumentasikan menjadi bahan bernilai untuk KBS dan disalurkan dari semasa ke semasa melalui Setiausaha Politik dan Setiausaha Akhbar Menteri kepada Menteri Belia dan Sukan dalam bentuk yang ringkas, jelas dan bernilai yang boleh digunakan pada bila-bila masa yang diperlukan.
- IPPBM perlu pro aktif dan bersedia untuk memberikan maklumbalas dan respon segera mengenai sesuatu isu belia yang berlaku dan merancang “story board” sesuatu keperluan untuk mengkaji seterusnya menghasilkan dapatan daripada sesuatu situasi yang memberikan impak kepada kumpulan sasar (belia). Perancangan tersebut meliputi keadaan sebelum, semasa dan selepas sesuatu isu yang timbul. Contohnya, perhimpunan yang melibatkan golongan belia, respons pemilih belia selepas pilihanraya umum dan terhadap program-program semasa yang melibatkan umum. YB. Menteri menegaskan agar perkara tersebut dapat diambil tindakan oleh IPPBM.
- Memberi penekanan terhadap usaha promosi dan menawarkan perkhidmatan maklumat data yang terdapat di IPPBM kepada pihak media dan umum dengan lebih berkesan serta memperbanyakan aktiviti networking dengan pihak media. Seterusnya, YB. Menteri meminta pihak KBS membantu IPPBM dalam proses memperluaskan jaringan dan diwar-warkan sebagai pusat maklumat kajian belia. Dengan kelebihan dan kemampuan IPPBM sekarang, dilihat mampu memenuhi keperluan perubahan yang diperlukan oleh IPPBM seiring dengan masa kini.
Turut sama dalam rangka lawatan Beliau ialah YB. Dato’ Haji Razali Haji Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ahli Lembaga Pengarah IPPBM serta Pengurusan Tertinggi Kementerian Belia dan Sukan.
Disunting : Suraya Sulaiman (IPPBM)
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
|