- Home
- Berita Terkini
- Forum Belia Asia Pasifik lahirkan belia kelas dunia
Forum Belia Asia Pasifik lahirkan belia kelas dunia

Forum Belia Asia Pasifik lahirkan belia kelas dunia
Utusan Malaysia - 20 September 2013
MELAKA 18 Sept. - Forum Belia Asia Pasifik (APYF) Ke-16 dilihat sebagai medium terbaik dalam melahirkan belia kelas dunia yang bukan sahaja peka terhadap isu-isu semasa malah mampu mengubah dunia menjadi lebih aman dan sejahtera.
Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, program yang berjaya mengumpulkan 296 belia dari 35 negara itu memperlihatkan kesungguhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan kerjasama OISCA International Japan dalam melahirkan belia yang mampu memimpin dunia kelak.
Menurutnya, mengekalkan keamanan dan kesejahteraan dunia masa hadapan adalah bergantung pada golongan belia masa kini yang menjadi matlamat utama APYF dianjurkan.
"Biarpun yang hadir pada forum ini daripada pelbagai lapisan bangsa dan negara, namun mempunyai matlamat yang sama iaitu mahu menjadikan dunia lebih aman dan harmoni.
"Persamaan inilah yang menyatukan masyarakat dunia dan diharap forum ini dapat mengupas segenap isu yang membelenggu masyarakat dunia dan penyelesaiannya supaya dunia masa depan lebih sempurna dari hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan APYF Ke-16 yang berlangsung di Banda Hilir, di sini semalam.
Turut hadir sama, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad; Presiden OISCA International Japan, Datuk Dr. Yoshiko Nakano dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.
APYF berlangsung tiga hari bermula semalam dan melibatkan peserta antaranya dari Bangladesh, Pakistan, Sudan, Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Filipina, Palestin, Kemboja, Fiji, India, Indonesia dan Thailand.
Mengisi program berkenaan, peserta forum turut dibawa melawat sekitar Kampung Morten, menaiki Melaka River Cruise serta melihat persembahan Dondang Sayang selain merasai makanan tradisional Melaka.
Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd