Kesimpulan
Bagi memberikan gambaran yang lebih holistik dan menyeluruh tentang kualiti dan kesejahteraan hidup belia Malaysia pada tahun 2011, terdapat beberapa domain baru yang dibentuk dalam Indeks Belia Malaysia 2011 yang akan hanya dapat dibandingkan pada tahun akan datang. Pada tahun 2011 ini, didapati bahawa kualiti dan kesejahteraan hidup generasi belia di Malaysia masih berada di tahap BAIK. Berbanding dengan tahun asas 2006 dan 2008, terdapat domain yang menunjukkan prestasi yang lebih baik dan ada juga domain yang menunjukkan prestasi yang menurun. Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan dapatan Indeks Belia Malaysia 2011 ialah Belia Malaysia masa kini menunjukkan potensi yang tinggi dan terbimbing sebagai rakan pembangunan Negara. Walau bagaimanapun, skor beberapa domain meliputi kesihatan mental, pemerkasaan oleh komuniti, keupayaan dari segi ekonomi, sosialisasi politik dan dayasaing juga menunjukkan bahawa Belia Malaysia sangat memerlukan sokongan emosi dan psikologikal yang lebih holistik dari semua peringkat masyarakat agar kualiti dan kesejahteraan hidup mereka kekal seimbang dan positif. Skor yang rendah dan trend penurunan dalam domain berkenaan menunjukkan bahawa Belia Malaysia terhubung melalui elektronik dan maya, tetapi semakin tersisih dalam hubungan antara diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat dan proses politik. Secara khususnya, sub domain tekanan memerlukan perhatian segera dari semua pihak pemegang taruh pembangunan belia. Skor rendah bagi waktu senggang juga menunjukkan terdapatnya keperluan yang penting untuk memperkasakan pertubuhan belia dalam negara bagi menjadi penggerak pembangunan Belia Malaysia. Kesedaran terhadap kesihatan fizikal, kecenderungan yang tinggi terhadap penggunaan komunikasi dan teknologi maklumat terutamanya melalui jaringan sosial menunjukkan Belia Malaysia terhubung sepenuhnya dengan media perdana dan alternatif, dan sentiasa mendapatkan maklumat dan berpotensi untuk dilibatkan sebagai rakan pembangunan Negara. IBM adalah indeks untuk memantau dinamika pembangunan Belia Malaysia. Dapatan IBM ini memberi indikator bahawa pendekatan pembangunan belia yang lebih holistik, dan ‘mesra belia’ yang dalam masa yang sama menghormati nilai agama dan budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia adalah penting bagi memastikan kelestarian keterlibatan belia sebagai rakan pembangunan Negara. |