kbs Agency under the Ministry of Youth and Sports Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

  Metodologi

Rekabentuk Kajian

Kajian ini bertujuan melaporkan keadaan belia semasa. Merujuk kepada Indeks Belia Malaysia yang lepas dan indeks nasional yang lain, jelas menunjukkan suatu pendekatan unik perlu dihasilkan. Memahami kompleksiti kajian, pasukan penyelidik mengenal pasti kaedah sistematik bagi mencapai kualiti kerja tinggi supaya sampel dapat mewakili populasi dan mencerminkan keadaan sebenarnya. Justeru, mekanisme kebarangkalian digunakan untuk mendapatkan sampel rawak yang dapat mewakili populasi.

Penggarisan Sampel

Rangka Persampelan Isi Rumah Kebangsaan (RPIK) digunakan setelah mendapat runding nasihat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Blok Penghitungan (BP) digunakan berdasarkan Banci 2000. Dalam setiap BP, terdapat sejumlah 80 – 120 Tempat Kediaman (TK) atau kira-kira 600 residen dalam setiap BP. Bagi setiap BP, 16 TK dipilih. Persampelan berstrata dua peringkat digunakan, iaitu mengikut pembahagian negeri, diikuti pembahagian antara kawasan bandar dan luar bandar. Bagi memastikan populasi sasaran mendapat peluang yang sama untuk dipilih, saiz sampel dikira mengikut persampelan bertahap menurut pembahagian negeri, bandar dan luar bandar, serta kumpulan umur (15-40 tahun). Pada aras keyakinan 95%, skor piawai Z=1.96, d=0.035 dan p=0.5, saiz sampel yang disasar ialah 196 BP bersamaan 3,133 TK atau 6267 responden (2 responden bagi setiap TK). 16 TK dipilih bagi setiap BP.

Rekabentuk Soal Selidik

IBM’11 merupakan kajian bersambung berdasarkan IBM’08 dan IBM’06 dengan penyesuaian domain dan indikator mengikut keperluan dan tuntutan semasa. Sebagai contoh, perbincangan kumpulan berfokus diadakan. Ia melibatkan belia dan golongan muda daripada kumpulan berlainan latar belakang untuk memberi input kepada rekabentuk borang soal selidik yang memperkukuh rekabentuk keseluruhan, dan memastikan kerelevanan isu yang dikemukakan adalah bersesuaian dengan trend dan keadaan belia semasa. Data daripada perbincangan kumpulan berfokus disemak dan dimurnikan dengan instrumen IBM’08 untuk memastikan kesahihan domain dan pernyataan item, justeru menghasilkan tiga domain tambahan. Selain itu, kajian rintis berinteraktif dijalankan untuk memastikan penggunaan perkataan dan pernyataan bagi setiap item individu adalah jelas maksudnya dan relevan kepada responden. Langkah-langkah lain yang diambil untuk memperkukuh metodologi keseluruhan IBM’11 termasuklah perbincangan terperinci dan sesi maklum-balas bersama agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dalam penentuan kesesuaian item berkaitan kesihatan mengikut keutamaan belia Malaysia. Khidmat nasihat Jabatan Perangkaan Malaysia turut diambilkira pada awal kajian untuk memastikan rangka persampelan mewakili populasi nasional. Penelitian dan perincian persampelan ini merupakan suatu penambahbaikan yang amat penting berbanding dengan edisi IBM’08 dan IBM’06 yang mana sampelnya bukan rawak kerana bergantung kepada responden berinternet.

Pengumpulan Data

Pasukan penyelidik berpendapat bahawa penemuduga memainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan kajian ini. Justeru, latihan kepada penemuduga merupakan suatu keperluan. Latihan kepada penemuduga merangkumi penggunaan suatu manual bertulis dan latihan praktikal. Manual bertulis merangkumi semua maklumat yang diperlukan oleh penemuduga seperti penjelasan atau teknik menyoal kepada responden, menonjolkan perkara dan soalan dalam soal selidik dan peta BP yang memerlukan perhatian. Untuk latihan praktikal, ia termasuklah rakaman klip video yang dibekalkan kepada semua penemuduga. Negeri Melaka telah dipilih sebagai negeri bagi kajian rintis sebelum dilaksanakan ke seluruh negeri Malaysia. Di samping itu, penemuduga bebas untuk menghubungi pasukan penyelidik bagi mendapatkan penjelasan pada bila-bila masa.

Selain daripada menyediakan alat bantu kepada penemuduga untuk dirujuk pada bila-bila masa diperlukan, ia meningkatkan pemahaman dan potensi penemuduga dalam pengumpulan data. Pendekatan ini mengatasi kekangan masa, ruang dan kewangan.

Kekangan Kajian

Kajian ini menggunakan sampel berkebarangkalian di 12 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Walau bagaimanapun, bagi negeri Sarawak, enumerator menghadapi cabaran untuk mencapai responden di kawasan terpencil sepertimana yang dicadang mengikut rekabentuk sampel RPIK. Atas kekangan yang wujud, rekabentuk RPIK tidak dapat digunakan dan menyebabkan pendekatan persampelan yang berlainan terpaksa digunakan. Semasa mengutip data, pasukan penyelidik menggunakan peserta program belia di Kuching, Bintulu, Samarahan dan Miri. Sebanyak 200 responden diambil dari Miri dan 100 responden masing-masing dari Kuching, Bintulu dan Samarahan, bagi mewakili kawasan luar bandar dan bandar. Perlu diingatkan bahawa responden Sarawak mewakili hanya 8.3% daripada jumlah sampel.

[ kembali ]

STRATEGIC PARTNERS

iyres.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institute for Youth Research Malaysia (IYRES)
All rights reserved. Best viewed on the latest versions of Chrome, Firefox, Edge, Safari.