MAKLUMAT AKTIVITI
Tarikh : 11 Julai 2015 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi – 3.30 petang
Tempat : Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa (IYC),
VIP : YBHG TUAN LOKMAN HAKIM BIN ALI
Timbalan Ketua Setiausaha(Antarabangsa dan Pengurusan) Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia
MAKLUMAT PENYERTAAN
Jumlah penyertaan adalah seramai 112 orang peserta yang terdiri daripada wakil kementerian, kakitangan sektor swasta, golongan pemimpin belia, pelajar universiti dan individu perseorangan. Berdasarkan jumlah penyertaan tersebut seramai 96 orang Kaum Melayu, 9 orang kaum Cina dan India 7 orang.
LATAR BELAKANG
-
Ketembusan media baru berupa facebook, twitter, instagram dan sebagainya sejak akhir-akhir ini dilihat sebagai satu ancaman terhadap keselamatan data peribadi para pengguna media sosial ini terutama dalam kalangan golongan belia. Kemajuan dan kepesatan teknologi ini memperlihatkan dan membuka ruang tanpa sempadan ke atas pengguna belia yang terlalu teruja dengan akses yang disajikan sehingga lupa tentang maklumat-maklumat peribadi mereka yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab.
-
Indeks Belia Malaysia 2011 (IBM’11) menunjukkan kepesatan berlaku dalam Domain Ketembusan Media di mana pada tahun 2008 berada pada skor 74.3 kepada skor 82.1 pada tahun 2011. Ini membuktikan bahawa golongan belia terdedah dengan media global dan pengaruh ICT seperti jaringan sosial. Sumber: IBM’11, 2015
- Hasil kajian oleh Mohd Aliff et.all (2012) mendapati bahawa ketagihan terhadap pengguna belia boleh berlaku sekiranya mereka tidak dapat dipisahkan daripada menggunakan dengan habit mengakses kepada internet terutamanya facebook. Merujuk kepada Majalah Cosmo United States, seorang wanita dibunuh hanya apabila menukar status berkahwin kepada belum berkahwin.Sumber: Malaysian Journal of Youth Studies, Vol. 7, 2012
-
Sementara itu, hasil kajian Razaleigh et.all, 2013 ke atas 80 remaja india mendapati bahawa terdapat kecenderungan pelayar internet untuk melayari sesuatu yang tidak baik jika tiada kesedaran dari sudut tanggungjawab terhadap diri sendiri. Sumber: Malaysian Journal of Youth Studies, Vol.8, 2013
-
Walaupun begitu, hasil penerokaan kajian oleh Wan Munira et. All, (2011) ke atas 162 orang ahli komuniti atas talian menunjukkan bahawa komuniti di atas talian di Malaysia berpotensi memperluaskan rangkaian sosial, menjana pendapatan yang positif dan mempunyai prospek yang baik untuk meningkatkan integrasi sosial antara etnik. Sumber: Malaysian Journal of Youth Studies, Vol. 5, 2011.
-
Pelbagai konotasi ini memberikan gambaran untuk diperbincangkan dengan lebih akademik dengan mengambil kira pelbagai perspektif pemikiran melalui penganjuran dialog ini.
OBJEKTIF
Objektif pelaksanaan DIB merujuk kepada tema ini adalah sebagaimana berikut:-
-
Membuka peluang kepada para peserta terutama kepada generasi muda untuk menyuarakan pandangan, maklum balas mahupun reaksi berkaitan isu penggunaan media sosial secara meluas dalam kalangan golongan belia;
-
Menyediakan platform kepada golongan belia dalam merungkaikan isu yang dekat dengan golongan belia sebagai kelompok pengguna media sosial terbesar;
-
Merumuskan input yang diterima daripada kalangan peserta untuk dijadikan sebagai dokumen yang akan diketengahkan ke peringkat Nota Jemaah Menteri.
-
Mendokumenkan pandangan dan maklum balas peserta penggubalan dan penambahbaikan dasar serta sebagai rujukan.
PENCAPAIAN DIALOG INTELEKTUAL BELIA: BELIA DAN PENGARUH MEDIA SOSIAL
Peserta DIB program ini telah bersetuju membawa resolusi sebagaimana berikut ke peringkat Nota Jemaah Menteri:-
Peranan Belia
i. Golongan Belia MESTI melihat konteks (kandungan, objektif, kepentingan dan sebagainya) maklumat/ informasi yang disebarkan agar tidak menyalahi undang-undang;
ii. Golongan Belia MESTI mengesahkan dan menyemak kesahihan/kebenaran sesuatu maklumat/berita/informasi yang diperoleh sebelum disebarkan kepada orang lain;
iii. Golongan Belia MESTI melaporkan sebarang jenayah siber kepada pihak-pihak berwajib dan social media provider untuk mengelakkan salah guna media sosial dan mengelakkan sebarang jenayah berulang;
iv. Golongan Belia DISARANKAN agar menggunakan platform media sosial kepada perkara yang boleh dijadikan manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain;
Peranan Kerajaan
i. Golongan Belia MENYARANKAN agar pihak kerajaan menyemak semula strategi, tindakan dan undang-undang yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi penyebaran maklumat yang tidak sahih;
ii. Golongan belia MENGGESA pihak kerajaan untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang terhadap kerahsiaan maklumat peribadi melalui transaksi/ urusan secara online;
iii. Golongan belia MENYARANKAN agar pihak kerajaan memberikan penerangan berkenaan undang-undang siber bagi meningkatkan kesedaran dan literasi belia terhadap penggunaan media sosial;
iv. Golongan Belia MENGGESA pihak Kerajaan menggubal polisi yang khusus dan terperinci berkaitan penggunaan media sosial yang tidak menyalahi undang-undang;
v. Golongan Belia MENCADANGKAN agar pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyediakan satu platform E-Commerce yang lebih dipercayai, selamat dan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan belia;
vi. Golongan Belia MENGGESA pihak Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan untuk membuat tapisan terperinci ke atas sebarang informasi bagi mengatasi masalah jenayah siber;
vii. Golongan Belia MENGESYORKAN agar pihak kerajaan menyalurkan semua dasar dan polisi kerajaan melalui media sosial;
x. Golongan Belia MENGESYORKAN agar pihak kerajaan menyediakan platform informasi untuk menyalurkan maklumat yang cepat, tepat dan berkesan; DAN
ix. Golongan Belia MENGGESA pihak kerajaan melalui SKMM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta agensi-agensi terlibat dalam ekosistem perniagaan online untuk menyelesaikan isu lambakan perniagaan online yang tidak berdaftar.