- Home
- Malaysian Journal of Youth Studies
- 2013
- Vol 8 Jun
- PEMAHAMAN DAN PERSEPSI MAHASISWA TERHADAP NILAI ASPIRASI 1MALAYSIA
PEMAHAMAN DAN PERSEPSI MAHASISWA TERHADAP NILAI ASPIRASI 1MALAYSIA
Kepelbagaian budaya dan agama adalah satu rahmat dan kekuatan bagi negara yang mempunyai komposisi etnik yang majmuk sifatnya. Memandangkan manusia seringkali berada dalam garis etniknya, maka isu perpaduan nasional menjadi agenda utama untuk memupuk dan memantapkan semangat kekitaan dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan mahasiswa yang bakal menerajui kepimpinan masa hadapan. Justeru, kefahaman mahasiswa terhadap nilai perpaduan yang dibangkitkan melalui gagasan 1Malaysia sangat mustahak untuk dinilai sebagai gambaran tahap perpaduan dalam kalangan mereka. Menariknya, nilai tersebut bukan sahaja mengutamakan persaingan dalam persekitaran glokal untuk meningkatkan mutu kerja malah mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap pemahaman dan persepsi mahasiswa etnik majoriti iaitu Melayu, Cina dan India mengenai budaya ilmu dan budaya inovasi sebagaimana yang terdapat dalam nilai aspirasi 1Malaysia. Data kajian kuantitatif ini dikutip melalui survei ke atas 800 orang mahasiswa di empat buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan tiga institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sekitar Lembah Klang. Dapatan kajian yang diperoleh dianalisis mengikut kategori sosial gender dan etnik. Penemuan kajian menunjukkan bahawa mahasiswa IPTA dan IPTS masing-masing mempunyai pemahaman dan persepsi yang baik mengenai budaya ilmu dan budaya inovasi walaupun berbeza gender dan etnik.
Kata Kunci: Nilai Aspirasi, Budaya Ilmu, Budaya Inovasi, Gender Dan Etnik