- Home
- Malaysian Journal of Youth Studies
- 2013
- Vol 8 Jun
- MANIFESTASI PENDIDIKAN SIVIK DALAM KALANGAN ALUMNI PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA
MANIFESTASI PENDIDIKAN SIVIK DALAM KALANGAN ALUMNI PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA
Statistik bancian penduduk 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia memaparkan kumpulan remaja sekitar umur 15 hingga 24 tahun merupakan kumpulan terbesar di Malaysia. Kumpulan tersebut bukan sahaja menjadi modal insan negara, malah mereka adalah teras pembangunan negara dan tunjang bangsa pada masa hadapan. Keadaan ini menjadi pemangkin betapa pentingnya golongan remaja ini dibangunkan secara holistik dari segenap aspek jasmani mahupun rohani. Tambahan pula, dalam arus perkembangan negara yang amat pesat membangun dan fenomena dunia tanpa sempadan kini, golongan remaja terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran domestik dan pada masa yang sama turut terdedah kepada ancaman global. Malah apa yang lebih membimbangkan lagi ialah kumpulan remaja kini banyak terdedah kepada pelbagai masalah berkaitan dengan gejala sosial dan aktiviti yang tidak bermoral. Sehubungan dengan itu, tumpuan, pengembangan dan pembangunan kumpulan ini adalah amat penting bagi menjamin kesinambungan kelestarian negara pada masa hadapan. Pihak kerajaan yang menyedari perkara ini telah mengenal pasti keperluan untuk membangunkan potensi golongan remaja telah merangka dan melaksanakan pelbagai bentuk polisi dan program dengan matlamat untuk melibatkan golongan remaja dalam pembangunan negara. Antaranya, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilihat sebagai satu mekanisme untuk menangani permasalahan remaja, memantapkan jati diri mereka dan seterusnya mengikat kesetiaan remaja kepada negara. Kumpulan remaja yang menjalani latihan PLKN seharusnya mampu mendepani apa jua cabaran mendatang dengan minda yang lebih terbuka, sikap yang profesional dan tindakan yang rasional. Sejauh manakah PLKN mampu mendidik dan membina jati diri golongan remaja menjadi tanda-tanya pelbagai pihak. Oleh itu, bagi mendapatkan kepastian kepada persoalan tersebut, satu kajian telah dilaksanakan ke atas alumni PLKN. Kajian telah mengambil sampel dari kalangan mahasiswa Universiti Putra Malaysia yang telah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebagai perbandingan, kajian juga telah mengambil sampel remaja yang tidak menyertai PLKN. Satu elemeßn penting yang telah diberikan perhatian dalam menilai dan mengukur keberkesanan PLKN adalah dari segi pendidikan sivik. Ini kerana, dari perspektif umum PLKN itu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan pendidikan sivik. Atau dengan kata lain, adakah PLKN itu adalah satu program pendidikan sivik? Oleh yang demikian, sejauh manakah elemen pendidikan sivik telah dipupuk dan diterapkan dalam diri remaja melalui PLKN akan cuba dirungkaikan dalam artikel ini.
Keywords: Pendidikan Sivik, Negara-Bangsa, Demokrasi, Remaja, PLKN