kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Analisis: Pengundi Muda Masih "atas Pagar", Namun Berpotensi Jadi "king Maker"

20221012 pengundimuda

 

KUALA LUMPUR, 12 Okt, (Bernama) -- Nazhatul Syafiqa, 26, belum pernah mengundi walaupun layak berbuat demikian pada pilihan raya umum yang lalu. Malah, dia juga tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebaik usianya mencapai 21 tahun.

Namun, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan pada tahun lepas, yang mana usia layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik, memberikan Nazhatul Syafiqa hak mengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kali ini dia bercadang untuk menunaikan tanggungjawab itu dan akan pulang ke kampungnya di Bagan Datuk, Perak.

Namun, kongsinya dengan Bernama, dia belum memutuskan parti mana yang akan dipangkahnya pada PRU15 kelak kerana masih meneliti siapa yang boleh menyelesaikan isu-isu yang baginya amat penting, iaitu berkenaan penyelewengan dan juga ekonomi.

“Masih tengah fikir nak undi siapa. Tak pasti lagi… pening (untuk buat pilihan),” ujar wanita muda itu.

Impak yang akan dibawa oleh wanita muda ini dan golongan seangkatannya - anggaran kira-kira 6.9 juta pengundi baharu - ke atas landskap politik negara masih belum dapat ditelah. Adakah mereka akan jadi penentu pada PRU15 nanti?

 

KELUAR MENGUNDI

Isu kelayakan mengundi bagi golongan berusia 18 tahun dan mereka yang layak namun tidak mendaftar sudah dimuktamadkan, sekalipun mengambil masa yang lama.

Pada 2019, Malaysia meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia layak mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun selain mendaftarkan golongan berusia 18 tahun ke atas sebagai pemilih secara automatik. Pindaan itu yang diluluskan oleh Parlimen diwartakan dan berkuat kuasa pada Disember 2021.

Pengasas bersama pertubuhan hak belia Undi18, Tharma Pillai memberitahu Bernama bahawa amat penting suara belia berusia 18 tahun diambil kira dalam pentadbiran kerajaan.

“Hak datang dengan tanggungjawab, dan di Malaysia, terdapat banyak tanggungjawab seperti tanggungjawab membayar cukai. Jika anda lakukan jenayah, anda akan (dibicarakan) sebagai orang dewasa. Anda juga boleh tandatangan kontrak. Semua ini adalah tanggungjawab.

“Oleh itu, kenapa anda tidak ada hak untuk memilih kerajaan yang membuat keputusan tentang semua tanggungjawab ini?” soalnya.

Sekarang golongan 18 tahun ke atas ini sudah tersenarai dalam Daftar Pemilih. Isunya, adakah mereka akan keluar mengundi?

Pakar bercanggah pendapat tentang hal ini.

“Buat masa ini belum dapat dipastikan jika pendaftaran secara automatik sebagai pengundi buat mereka yang berusia 18 tahun ke atas turut bermakna jumlah pemilih muda yang keluar mengundi akan meningkat,” kata Lee Min Hui, penganalisis di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Menurut beliau, lazimnya, pembabitan dalam politik serta tahap sivik yang tinggi mencerminkan seseorang itu berkemungkinan besar akan keluar mengundi. Bagaimanapun, kajian dan tinjauan mendapati belia Malaysia agak terkebelakang dalam aspek ini berbanding negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pembangunan Belia 2020.

Berdasarkan situasi di negara lain, jumlah pemilih muda yang keluar mengundi adalah rendah. Analisis New York Times pada 2020 yang meliputi 24 negara yang baru mengadakan pilihan raya, merumuskan angka orang muda yang keluar mengundi di semua negara terbabit adalah rendah berbanding jumlah keseluruhan yang berbuat demikian.

Bagaimanapun, aktivis berharap Malaysia akan mengubah trend itu. Antara sandaran mereka ialah jumlah pengundi muda semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, empat bulan selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa.

Analisis oleh Bridget Welsh, pemerhati politik dan penyelidik di University of Nottingham-Malaysia, mendapati 54 peratus daripada kumpulan umur 18 hingga 21 tahun mengundi pada pilihan raya tersebut, iaitu hampir sama dengan kelompok usia usia 21-25 dan 41-45 tahun.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan mereka yang keluar mengundi pada pilihan raya itu adalah rendah berbanding kebiasaan, iaitu hanya sekitar 50 peratus.

 

Pengerusi Bersih Thomas Fann memberitahu Bernama jumlah mereka yang keluar mengundi pada PRN itu rendah disebabkan pelbagai faktor.

“Antaranya ialah ia merupakan perkara baharu. Semasa PRN Johor, ramai yang tidak tahu mereka layak mengundi pada usia 18 tahun. Selain itu, mereka juga tidak tahu bahawa mereka tidak perlu lagi mendaftar untuk menjadi pemilih,” jelasnya.

Kumpulan yang mencatatkan kadar keluar mengundi yang rendah ialah kelompok usia 26 hingga 40 tahun. Sebelum ini, jumlah keluar mengundi kumpulan ini secara relatifnya adalah tinggi dan menyamai kelompok yang lebih berusia.

Jelas Fann, kebanyakan mereka yang berada dalam lingkungan usia tersebut menetap di kawasan lain, sama ada kerana menyambung pengajian atau bekerja. Justeru tambah beliau, mereka mungkin memutuskan untuk tidak pulang mengundi kerana ia cuma pilihan raya negeri.

Selain itu, pada tempoh berkenaan juga kes harian COVID-19 di Malaysia adalah sekitar 30,000 dan mereka yang positif jangkitan tersebut tidak dibenarkan keluar mengundi, sekali gus menjejaskan angka pemilih yang berbuat demikian.

Bagaimanapun kata Fann, beliau tidak akan terkejut jika kumpulan usia itu kekal merekodkan jumlah keluar mengundi yang rendah berbanding kumpulan usia lain pada PRU akan datang.

“Hakikatnya, kelompok usia ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk mengundi, dan kebanyakannya adalah mereka dalam kumpulan usia 18 hingga 40 tahun,” kata beliau.

Bagaimanapun, buat masa ini, rumusan yang didasari PRN Johor itu hanyalah satu spekulasi.

Pengasas bersama Architects of Diversity (AoD) Jason Wee berkata statistik di Johor mungkin bukan indikator yang sesuai dalam mengukur jumlah pengundi baharu yang keluar mengundi pada masa akan datang.

“Jangan terlalu cepat menganggap orang muda tidak berminat dengan politik, kerana sebahagiannya mungkin disebabkan oleh opsyen politik yang ada pada masa ini, iaitu yang pertama, tidak memuaskan hati, dan kedua, menjadi punca pengunduran daripada penglibatan,” katanya.

Tambah beliau, kajian yang dilakukan oleh pertubuhannya bersama-sama Undi18, mendapati 80 peratus belia merancang untuk mengundi pada PRU15. Kajian itu merangkumi sampel seramai 3,089 orang.

 

ISU

Antara fakta menarik pada PRU akan datang ialah kewujudan “wild card”. Tidak ada siapapun boleh meneka apakah faktor yang akan mempengaruhi undi orang muda, sama ada mereka akan memilih berdasarkan isu atau dasar.

Dianggarkan lebih 21 juta pemilih berdaftar pada PRU15 ini dengan 58 peratus adalah mereka dalam kelompok usia 18 hingga 40 tahun. Belia berusia 18 hingga 20 tahun merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu. Angka bagi kelompok usia lain masih belum tersedia setakat ini.

Sementara itu, dalam kajian yang diterbitkan pada Mei 2021, Merdeka Center mendapati isu yang paling merisaukan golongan muda Malaysia ialah kewangan dan pekerjaan.

Penuntut Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur Ammar Hakeem, 23, memberitahu Bernama bahawa isu utama baginya ialah gaji yang tidak bergerak.

“Hidup di Kuala Lumpur ini mahal. Gaji minimum RM1,500 tidak cukup,” katanya, menambah dia bercadang untuk mengundi pada PRU akan datang.

Sekalipun bilangan pengundi muda tidaklah begitu besar sehingga boleh mempengaruhi secara langsung kedudukan sesebuah kerusi, jumlah itu mungkin memadai untuk memberi kemenangan atau kekalahan bagi sesetengah calon yang bertanding.

Tharma berkata golongan muda sudah menunjukkan betapa pentingnya mereka semasa PRU14 apabila sebilangan besar daripada mereka keluar memangkah Pakatan Harapan.

“Pengundi muda, walaupun mereka mempunyai kecenderungan hampir sama dengan generasi lebih berusia, isu ekonomi masih menjadi keutamaan mereka. Ini bermakna mereka bersedia untuk mengundi merentasi kaum, bersedia mencuba parti berlainan. Tahap kesetiaan politik mereka tidak begitu tinggi. Mereka mahu isu ekonomi diutamakan,” katanya.

Kajian lain yang melibatkan orang muda juga mendapati mereka lebih bersifat egalitarian dan berasaskan merit, mengutamakan keluarga, perlindungan dan kesihatan serta alam sekitar. Rata-rata mereka berada atas pagar, demikian menurut Tinjauan Aspirasi Manifesto Belia 2022 yang dijalankan oleh AoD dan Undi18.

Pada masa sama, walaupun mereka peduli tentang isu, mereka tidak begitu berminat untuk terlibat dalam politik bagi memperjuangkan isu tersebut.

Pakar berpendapat usaha menarik belia menyertai politik adalah penting, iaitu bukan sekadar menjadi sebahagian daripada demokrasi dengan mengundi, tetapi melahirkan aktivis yang akan menjadi pemimpin pada masa depan.

“Kita perlukan pemimpin muda kerana cabaran yang kita hadapi sekarang adalah perkara baharu dan memerlukan penyelesaian baharu. Krisis iklim dan pencarian sumber tenaga alternatif memerlukan pendekatan baharu, yang mana pemimpin lama mungkin tidak memiliki apa yang diperlukan bagi menanganinya,” kata Fann.

Kajian Merdeka Center pada Mei 2021 mendapati hanya sekitar satu pertiga daripada golongan muda Malaysia berminat dengan politik. Kebanyakan mereka adalah lelaki, Melayu dan daripada kumpulan berpendapatan tinggi.

Tinjauan itu juga mendapati 78 peratus orang muda berasakan politik dan kerajaan sebagai sesuatu yang sukar, dan mereka menyatakan “tidak begitu faham dengan apa yang sedang berlaku.” Dua pertiga daripada pemilih muda berpendapat pegawai kerajaan serta ahli politik “tidak peduli tentang pendapat saya.”

Kajian terbaharu yang dilakukan ke atas mereka yang beragama Islam, berusia 15 hingga 25 tahun, diterbitkan pada Jun 2022, juga memberikan jawapan hampir sama, iaitu hanya satu pertiga berminat dengan politik.

“Demokrasi budaya masih tandus di Malaysia. Bukan setakat mengundi, mengundi hanya satu daripada komponen demokrasi… begitu juga penyertaan budaya dalam membuat keputusan, masih ketandusan,” kata Wee.

Menurutnya, keluarga dan sekolah boleh membantu menerap tabiat demokrasi dan penglibatan sivik. Keluarga misalnya, boleh melibatkan anak dalam proses politik semasa mereka masih kecil, sementara sekolah pula boleh menyediakan wakil kepentingan mereka dalam pentadbiran sekolah.

-- BERNAMA Sumber : BERNAMA. Pautan : BERNAMA

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.