- Laman Utama
- Info
- Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif
Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif
Salam Sejahtera.
Pelan Strategik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) 2021-2025 merupakan dokumen penting yang perlu dijadikan teras dan rujukan utama untuk mengatur strategi, hala tuju dan pengurusan sumber secara komprehensif dan inklusif dalam tempoh lima tahun.
Pelan strategik ini telah menggariskan sebanyak tiga teras strategik, lapan strategi dan 28 program bagi mencapai misi dan visi IYRES. Hal ini disokong oleh indikator sasaran, sasaran, tempoh pencapaian sasaran, dan bahagian yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian, seluruh warga IYRES hendaklah merancang, menghayati dan melaksanakan pelan strategik ini dengan jayanya serta menjadikannya sebagai teras serta rujukan utama kepada semua perancangan tahunan IYRES.
Bagi memastikan isu dan cabaran semasa dapat ditangani dalam melaksanakan segala perancangan, warga IYRES perlu sentiasa peka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Pendekatan kerajaan ke arah pendigitalan menerusi Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 harus dipelopori warga IYRES dalam setiap perancangan agar tiada pemegang taruh dan pelanggan khususnya tidak dapat mengakses dan memperolehi manfaat atas semua inisiatif IYRES. Selain itu, pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 (RMKe-12), Sustainable Development Goals (SDGs) 2030 dan Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2021-2025 telah diterjemahkan secara jelas dalam pelan strategik ini.
Pencapaian bagi setiap program atau aktiviti yang telah dicadangkan dalam pelan strategik ini akan dipantau setiap tahun. Pemantauan ini bertujuan
memastikan peranan dan fungsi IYRES sebagai peneraju penyelidikan pembangunan belia dan pusat rujukan data belia akan tercapai. Saya berharap ketua-ketua bahagian, cawangan dan unit memanfaatkan secara optimum pelan strategik ini dalam merancang program atau aktiviti tahunan IYRES. Saya percaya seluruh warga IYRES mempunyai keazaman dan iltizam yang tinggi untuk memastikan IYRES sebuah organisasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Akhir kata, saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyumbang cadangan dan idea dalam penghasilan Pelan Strategik IYRES 2021-2025 ini.
Sekian, terima kasih.
DR. VELLAPANDIAN PONNUSAMY
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF IYRES