kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

4 Pendaki Termasuk OKU Pendengaran Sasar Tawan Everest

 

everest

 

SEPANG: Ketika orang lain sibuk berkira-kira menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung, empat pendaki sebaliknya memilih untuk meraikan hari raya itu gunung Everest selaku puncak tertinggi dunia.

Meskipun tiada ketupat, lemang atau rendang, empat pendaki itu khususnya tiga beragama Islam berpuas hati menjamah biskut kering sebagai juadah di pagi raya di Everest Base Camp (EBC) demi menjayakan misi dan minat masing-masing.

Selain Azim Afif Ishak, 35, yang mengetuai misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), tiga lagi rakan pendaki adalah kakitangan Muzium Pulau Pinang yang berstatus orang kurang upaya (OKU) , Muhammad Hawari Hashim, 33; Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55 dan usahawan yang juga peminat aktiviti lasak, Tiong Ling Yang, 30.

Azim yang juga bekas pendaki Everest 2016 berkata, tahun ini kali kedua dia bersama Muhammad Hawari dan Awang Askandar merayakan Aidil Fitri di EBC dan ia amat mengujakan kerana berjauhan dengan keluarga tersayang semata-mata untuk menyelesaikan misi tertangguh bagi menawan puncak tertinggi dunia itu.

"Semangat pendaki tidak pernah luntur...misi kali ini adalah kesinambungan misi yang ditangguhkan sebelum ini atas faktor cuaca disebabkan angin kencang disusuli ribut salji mencecah 50 hingga 70 kilometer sejam yang boleh membahayakan keselamatan.

"Ketika itu, kami sudah berada di 'Yellow Band' di ketinggian kira-kira 7,600 dari aras laut dan hanya memerlukan 16 jam untuk tiba di puncak," katanya ketika ditemui di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Mereka yang akan memulakan misi ME 2023 hari ini sehingga 2 Jun, berlepas ke Kathmandu, Nepal jam 8 malam ini menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

Misi ME 2023 turut mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ia sangat unik kerana menonjolkan semangat perpaduan Malaysia MADANI dari kalangan pelbagai bangsa.

Azim berkata, misi kali ini juga menjadi cabaran buatnya untuk mencipta rekod peribadi kedua untuk sampai di puncak Everest, manakala bagi Hawari untuk mencipta sejarah OKU pendengaran pertama Malaysia yang menawan puncak tertinggi dunia itu.

Katanya, mereka bertolak awal bagi membuat persediaan dan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di EBC sebelum memulakan misi pada pertengahan Mei ini.

"Kali ini pendaki ME 2023 akan memulakan misi awal selepas aktiviti itu dibuka kepada pendaki bagi mengelak sekali lagi berhadapan faktor cuaca luar jangkaan.

"Berdasarkan pengalaman misi lalu dan latihan rapi diadakan sejak Oktober lalu, kami yakin misi kali ini akan berhasil sekali gus melakar sejarah baharu kepada negara di peringkat global.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua pihak yang terbabit dalam menjayakan misi ini dan pada masa sama mengharapkan doa serta sokongan rakyat Malaysia agar misi ini berjaya serta semua pendaki selamat pergi dan kembali ke tanah air," katanya.

Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian

 

 

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.