kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Semua Pihak Perlu Bekerjasama Lahir Generasi Muda Bersatu Padu

 

Semua pihak perlu bekerjasama lahir generasi muda bersatu padu

 

Dalam Titah Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Kebangsaan di Kuching baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar seluruh rakyat merapatkan jurang perbezaan antara kaum dan agama bagi memastikan negara kekal harmoni.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu rakyat sedar walaupun Malaysia negara berbilang kaum dan agama, perbezaan itu tidak boleh dijadikan sebagai jurang memecahbelahkan perpaduan kaum.

Dalam konteks ini, rakyat perlu berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh berpaksikan hati, perbuatan serta sikap jujur dan ikhlas untuk mengurangkan perbezaan bagi memastikan perpaduan terus menjadi aset tidak ternilai negara ini. Tiada galang ganti dan tidak ada sebarang kompromi dalam soal memperkukuh dan mempertahankan perpaduan yang ada.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah mengungkapkan, perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara. Kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci utama menyumbang kestabilan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Ia juga menjadi pemangkin kepada kekuatan bagi menghadapi apa jua cabaran mendatang. Jatuh bangun rakyat dan negara ini ditentukan sepenuhnya oleh keampuhan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum.

Perpaduan dalam kalangan rakyat juga bakal menjadi aset dan tonggak utama menjayakan pembentukan masyarakat dan negara Madani yang sedang diusahakan kerajaan.

Memandangkan perpaduan adalah aset dan kunci utama kejayaan dan kehidupan rakyat, maka perlu ada usaha berterusan dari semua pihak baik kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun anggota masyarakat itu sendiri. Masing-masing perlu sedar peranan dan tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha memperkasa nilai dan tahap perpaduan masyarakat.

Inisiatif lancar Minggu Perpaduan

Dalam hal ini kita mengalu-alukan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Minggu Perpaduan di bawah program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI sebagai antara inisiatif melalui Belanjawan 2023 yang dilaksanakan bagi memperkasa agenda perpaduan negara dan integrasi nasional di bawah ikhtiar menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat.

Program seperti ini dilihat mampu memberi peluang kepada masyarakat mempelajari dan memahami keunikan serta kepelbagaian adat, budaya dan kaum di negara ini.

Antara aktiviti utama pada program ini ialah Pameran Panel Moment of Unity yang menunjukkan perpaduan dan kepelbagaian adat masyarakat berbilang kaum di negara kita selain persembahan kebudayaan pelbagai etnik dan pameran Rumah KAMI yang memaparkan maklumat berkaitan pakaian, makanan serta sukan rakyat pelbagai etnik termasuk masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.

Inisiatif dilaksanakan kementerian seperti ini perlu disahut dan disokong semua agensi kerajaan dan juga NGO di negara kita kerana usaha memperkasa perpaduan adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap agensi kerajaan juga perlu melaksanakan program yang boleh merapatkan tali persaudaraan dan mengurangkan jurang perbezaan agama dan kaum mengikut skop dan kemampuan masing-masing.

Misalnya sektor awam dan korporat boleh mengadakan pelbagai program dan aktiviti pada peringkat jabatan masing-masing secara konsisten dan berkala bagi memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan anggota organisasi.

Ini penting kerana selain memperkasa tahap perpaduan, aktiviti dianjurkan juga boleh meningkatkan kerjasama dan semangat kerja berpasukan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti individu dan jabatan secara keseluruhannya.

Aktiviti memupuk semangat kekitaan juga perlu terus disemarakkan pada peringkat sekolah dan universiti agar golongan belia negara ini sedar kepentingan perpaduan serta memahami tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara jambatan perpaduan yang ada.

Selain itu, peranan keluarga juga sangat penting kerana perpaduan sewajarnya bermula dari rumah. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu menzahirkan semangat dan nilai perpaduan tinggi yang boleh dicontohi anak, sekali gus melahirkan generasi masa depan yang saling hormat menghormati dan hidup bertoleransi sebagai sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu.

Realitinya, setiap daripada kita mempunyai peranan besar dalam memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat. Perpaduan menjadi aset sangat bernilai dan kunci utama kestabilan negara.

Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia

Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian

 

 

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.