- Laman Utama
- Berita Terkini
- Rakyat Perlu Kuasai AI Untuk Tentukan Sendiri Nilai Moral,Budaya Dalam Teknologi ITU - PM
Rakyat Perlu Kuasai AI Untuk Tentukan Sendiri Nilai Moral,Budaya Dalam Teknologi ITU - PM
KANGAR, 3 Mei (Bernama) - Rakyat perlu menguasai kecerdasan buatan (AI) bagi menjamin nilai budaya dan moral dalam teknologi itu ditentukan sendiri oleh masyarakat di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata jika AI tidak dikuasai, nilai dan moral dalam teknologi itu akan ditentukan oleh pihak-pihak yang menguasainya terutama dari barat.
“Jika betul-betul nak memaknai dan menterjemahkan amalan perjuangan atau jihad dalam negara ini ada beberapa cabaran baharu, kalau kita tidak menguasai AI, transformasi digital, kita akan kalah kerana dalam semua bidang pengurusan kerajaan, ketenteraan, polis, imigresen, swasta dan pertanian, AI akan menguasai,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program Perkampungan Sunnah Siri ke-9 disini malam ini.
Anwar berkata ketika bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella semalam, beliau telah membangkitkan persoalan mengenai nilai, agama, budaya dan akhlak masyarakat negara ini yang enggan dicorakkan mengikut acuan AI barat.
Beliau berkata Satya menjelaskan bahawa perkara itu terpulang kepada rakyat Malaysia yang perlu menguasai dan menentukan sendiri perisian AI mengikut iklim serta persekitaran di negara ini.
“Ini seperti komputer juga dulu, ada orang menentang kerana ada pornografi, yang kita tidak terlawan, jadi kita mesti bina kekuatan dalaman supaya dapat menolak kebejatan itu.
“Samalah dengan (transformasi) digital tapi kenyataan di Malaysia sekarang ialah minat anak-anak Melayu terutama dalam bidang Matematik dan Sains kian menurun,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata penguasaan AI tidak akan tercapai sekiranya rakyat tidak memiliki pengetahuan serta kemahiran asas dalam bidang Matematik dan Sains.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri ZainulAbidin.
Program Perkampungan Sunnah Siri ke-9, yang bermula hari ini, akan berlangsung sehingga Ahad.
Sumber : Bernama
Pautan : Bernama